AM

Bomba Agih 150 Bot Komuniti, Bantu Segerakan Penyelamatan Mangsa Banjir

31/07/2025 07:06 PM

SEREMBAN, 31 Julai (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mula mengagihkan 150 unit bot komuniti di seluruh negara keseluruhannya bernilai RM1.8 juta bagi memudahkan dan menyegerakan penyelamatan mangsa banjir di peringkat awal.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata JBPM telah mengenal pasti organisasi berkemampuan untuk menerima bot itu dengan penyerahan dibuat secara berperingkat bermula hari ini.

“Organisasi berkenaan termasuk bomba komuniti dan sukarela, kumpulan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan dan balai dengan rekod bantuan penyelamatan banjir yang tinggi.

“Perolehan bot baharu berserta aksesori untuk penyelamatan komuniti itu bagi memudahkan proses penyelamatan air komuniti setempat ke lokasi selamat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kempen Keselamatan Aktiviti Air Sempena Hari Pencegahan Lemas Sedunia di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad.

Aiman Athirah berkata Malaysia merekodkan purata kematian akibat lemas berjumlah 1,359 kes dalam tempoh lima tahun bermula 2020 dengan purata 272 kematian setahun.

“Jika dianalisis, angka kematian akibat lemas jauh lebih tinggi berbanding kematian disebabkan kebakaran. Kumpulan umur berisiko tinggi iaitu 20 hingga 39 tahun dan tujuh hingga 19 tahun mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu masing-masing 36 peratus dan 30 peratus daripada keseluruhan angka kematian,” katanya.

Justeru, beliau berkata program pencegahan bersesuaian perlu diadakan selain memastikan perancangan dasar melibatkan penyertaan pelbagai sektor dapat dilaksanakan untuk mengurangkan risiko berlaku kes lemas.

Aiman Athirah berkata usaha berterusan seperti penganjuran kempen seperti dilaksanakan hari ini perlu diperluas bukan sahaja di kawasan tumpuan pelancong dan pusat rekreasi air, tetapi juga di kampung serta kawasan pedalaman berhampiran kawasan air semula jadi seperti sungai, tasik dan jeram.

Beliau berkata pihaknya juga bekerjasama erat dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengenal pasti lokasi berisiko tinggi serta memasang papan amaran keselamatan.

Sementara itu, Nor Hisham berkata JBPM sentiasa mengambil langkah proaktif memantau kawasan hotspot yang sering terdedah kepada kejadian lemas selain memberi penekanan terhadap program kesedaran kepada awam terutama golongan muda.

“Kalau dulu Monsun Timur Laut sering dikaitkan dengan jumlah kematian lemas yang tinggi tetapi trend sekarang sudah berubah lebih kepada musim cuti panjang apabila masyarakat berkunjung ke kawasan rekreasi,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan