KOTA BHARU, 20 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) meneruskan kerjasama strategik dengan MYTV Broadcasting Sdn Bhd menerusi program Kembara RIUH Pesta Itu-Ini yang berlangsung selama tiga hari di Stadium Sultan Muhammad IV, bermula semalam.
Penolong Pengurus Penjenamaan Bahagian Hal Ehwal Korporat Bernama Mohammad Suherman Anuar berkata kerjasama itu bertujuan mempromosikan aplikasi digital kedua-dua pihak iaitu aplikasi Bernama dan MYTV Mana-Mana kepada masyarakat setempat selain memperkenalkan kandungan Bernama TV yang boleh ditonton melalui platform MYTV.
“Kami (Bernama) melihat kerjasama ini sebagai peluang terbaik untuk memperkenalkan platform berita serta siaran digital kepada orang ramai secara lebih dekat,” katanya di lokasi program itu di sini hari ini.
Beliau berkata MYTV merupakan platform penyiaran televisyen digital percuma di bawah seliaan Kementerian Komunikasi, dan dipantau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai sebahagian daripada inisiatif peralihan siaran analog ke digital sejak 2018.
Mohammad Suherman berkata kerjasama seumpama itu berpotensi diperluas menerusi pelbagai aktiviti lapangan bersifat pendidikan dan kesedaran media pada masa akan datang.
Sementara itu, Pegawai Pemasaran MYTV Broadcasting Sdn Bhd Muhammad Afiq Firdaus Radzlan berkata kolaborasi bersama Bernama membuka ruang untuk kedua-dua pihak merancang promosi secara bersama dengan berkesan.
“Tujuannya ialah untuk mendekati pengguna secara langsung, memperkenalkan perkhidmatan percuma MYTV serta kandungan yang tersedia seperti Bernama TV dan Bernama Radio,” katanya.
Muhammad Afiq berkata MYTV kini menawarkan 15 saluran televisyen percuma yang boleh diakses melalui dekoder MYTV atau aplikasi MYTV Mana-Mana, termasuk saluran Bernama sebagai sumber berita rasmi dan sahih negara.
Program Kembara RIUH Pesta Itu-Ini anjuran Kementerian Komunikasi berlangsung semalam hingga Sabtu ini mulai 10 pagi hingga 11 malam setiap hari dengan pelbagai aktiviti menarik dijalankan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial