PASIR PUTEH, 20 Jun (Bernama) -- Pelantikan baharu bagi mengisi dua kekosongan jawatan dalam Kabinet adalah di bawah bidang kuasa dan prerogatif Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Beliau berkata sebarang keputusan berhubung pengisian semula dua portfolio yang ditinggalkan wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad itu terserah sepenuhnya kepada pertimbangan Perdana Menteri.
“Kita perlu beri ruang dan masa sewajarnya kepada beliau (Anwar) untuk menyusun barisan yang terbaik bagi meneruskan pentadbiran negara serta (sebarang) keputusan Perdana Menteri perlu dihormati,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ke-68 di Sekolah Menengah Kebangsaan Kamil, di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai keputusan Rafizi untuk tidak kembali ke Kabinet, Shamsul Iskandar berkata keputusan bekas Menteri Ekonomi itu wajar dihormati semua pihak.
“Saya fikir kita kena hormat keputusan Rafizi, kalau beliau sudah buat keputusan, maka itu hak beliau,” katanya.
Berhubung status Nik Nazmi sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang kekal dengan pendirian untuk meletak jawatan dalam Kabinet, beliau berkata perkara itu akan dilihat kemudian memandangkan Nik Nazmi berada dalam tempoh bercuti.
“Kita tunggu dulu. Beliau masih bercuti dan kita tengok macam mana perkembangan selepas ini,” katanya.
Pada 28 Mei lepas, Anwar telah menerima surat permohonan cuti dan pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada Rafizi serta Nik Nazmi masing-masing berkuat kuasa pada 17 Jun dan 4 Julai susulan kekalahan dalam pemilihan PKR 2025.
Rafizi gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar manakala Nik Nazmi tewas pada pemilihan bagi jawatan Naib Presiden.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial