AM

Malaysia, Brunei Komited Perkukuh Kerjasama Kesiapsiagaan Bencana Serantau

06/06/2025 08:05 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Malaysia dan Brunei terus komited untuk memperluas kerjasama serantau dalam aspek kesiapsiagaan bencana serta keselamatan rentas sempadan selain memperkukuh hubungan dua hala yang terjalin erat sejak sekian lama.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata komitmen itu dinyatakan pada pertemuan dua hala beliau dengan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei Datuk Seri Setia Awang Ahmaddin Abdul Rahman di luar persidangan Platform Global bagi Pengurangan Risiko Bencana 2025 di Geneva.

Beliau menzahirkan penghargaan atas kesediaan Brunei untuk terus menjalankan latihan bersama antara Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dengan Pusat Bencana Kebangsaan Brunei, termasuk program pemindahan ilmu dan latihan berasaskan amalan terbaik. 

“Kami turut bersetuju untuk memperhebatkan latihan dan latihan lapangan bersama antaranya operasi menyelamat serta simulasi kecemasan yang telah dijayakan baru-baru ini. 

“Latihan ini bukan sahaja membina kepercayaan antara agensi malah penting untuk menyelaras prosedur operasi dalam menghadapi bencana rentas sempadan,” katanya.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata Malaysia dan Brunei membuktikan bahawa kejiranan yang akrab digandingkan dengan komitmen tinggi, mampu membina kerjasama bencana serta keselamatan serantau lebih mantap.

Beliau turut memberi jaminan untuk terus memperkukuh sinergi itu demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat di kedua-dua negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan