JENAYAH & MAHKAMAH

Pesara Rugi Lebih RM100,000 Diperdaya Sindiket Penipuan

02/06/2025 01:37 PM

TANGKAK, 2 Jun (Bernama) -- Seorang pesara kerugian RM108,520 selepas terperdaya dengan individu yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib berkata kejadian bermula apabila wanita berusia 58 tahun itu dihubungi suspek pada 9 Mei lepas yang menyatakan dia terlibat dalam kes penipuan pelaburan dan pinjaman tidak wujud.

Beliau berkata mangsa diberitahu perlu memindahkan wang di dalam akaun miliknya ke dalam akaun bank lain yang dimaklumkan suspek sehingga akaun terbabit selesai diaudit.

“Panik dengan situasi itu, mangsa telah memindahkan wang daripada akaunnya ke pihak ketiga dengan melakukan hingga 16 transaksi ke dalam dua akaun bank yang disyaki ‘akaun keldai’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Roslan berkata mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang ramai yang menjadi mangsa penipuan supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang daripada akaun suspek. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan