AM

MPOGCF Perkenal Model Pengurusan Interaksi Hidupan Liar Bantu Pekebun Kecil Sawit

30/05/2025 10:48 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) memperkenalkan Model Pengurusan Interaksi Hidupan Liar yang mengintegrasikan komuniti pekebun kecil dan syarikat perladangan sawit bagi mencapai kehidupan bersama gajah liar.

MPOGCF dalam kenyataan hari ini memaklumkan model pengurusan yang pertama seumpamanya di Semenanjung itu diwujudkan hasil kerjasama MPOGCF dan Earthworm Foundation (EF) melalui projek perintis Mencapai Kewujudan Bersama Gajah di Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor, yang dilaksanakan di kawasan seluas 8,400 hektar.

“Projek ini turut melibatkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang bertujuan memastikan kelangsungan hidup gajah liar tanpa menjejaskan keselamatan dan sumber pendapatan pekebun kecil di kawasan terlibat,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang pelaksanaan projek, 412 individu terdiri daripada komuniti Kampung Sungai Ara, Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan (FELCRA) serta wakil agensi kerajaan dan syarikat perladangan telah menyertai pelbagai bengkel peningkatan kapasiti yang memfokuskan kepada pengurusan interaksi manusia-hidupan liar, penggunaan teknologi dron dan kaedah mitigasi terbaik.

“Antara pencapaian utama ialah pemasangan 10 unit Sistem Amaran Awal (EWS) di kawasan perladangan Koperasi Perladangan Sungai Ara (KPSA) dan FELCRA, yang membantu komuniti mengesan kehadiran gajah lebih awal.

“Selain itu, rondaan secara berkala dengan sokongan teknologi dron turut dilaksanakan dan dua belia dari Sungai Ara yang juga merupakan pekebun kecil sawit berjaya ditauliahkan sebagai juruterbang dron oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” menurut kenyataan itu.

Bagi memastikan keberkesanan dan hala tuju pengurusan lebih sistematik dan terselaras, Jawatankuasa Kewujudan Bersama Manusia-Gajah (HEC) serta Terma Rujukan (ToR) telah ditubuhkan semasa mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan pada November 2023, yang telah berjaya merangka dan meluluskan carta alir pengurusan interaksi manusia dan gajah.

Pengurus Besar MPOGCF Hairulazim Mahmud berkata inisiatif itu membuktikan bahawa kehidupan bersama hidupan liar seperti gajah boleh diurus secara berkesan dengan penglibatan aktif pekebun kecil dan pelbagai pihak berkepentingan.

“Projek ini bukan sahaja membantu meningkatkan keupayaan komuniti untuk berinteraksi secara harmoni dengan kehadiran gajah liar, tetapi juga memberi kesedaran dan kemahiran baharu kepada komuniti pekebun kecil.

“Melihat kepada kejayaan di Sungai Ara, MPOGCF berhasrat untuk memperluaskan model projek ini ke kawasan lain di Semenanjung Malaysia yang turut berdepan situasi kehadiran gajah bagi memastikan keseimbangan antara aktiviti perladangan dan pemuliharaan biodiversiti dapat dicapai,” katanya dalam kenyataan sama.

Hairulazim berkata MPOGCF juga komited meneruskan sokongan terhadap inisiatif-inisiatif konservasi berimpak tinggi khususnya yang memberi manfaat langsung kepada komuniti pekebun kecil sawit di negara ini.

Kenyataan itu memaklumkan usaha meningkatkan kapasiti itu perlu diteruskan secara berperingkat dari semasa ke semasa, selaras dengan tingkah laku gajah liar yang sentiasa dinamik dan boleh berubah mengikut persekitaran.

MPOGCF memaklumkan inisiatif itu juga dapat membantu mengurangkan risiko kejadian tidak diingini termasuk insiden kecederaan atau kemalangan jiwa, selain mengelakkan kerosakan harta benda serta memastikan keselamatan dan kelangsungan hidup gajah terus terpelihara dalam kawasan landskap perladangan sawit.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan