AM

Kerjasama Malaysia-Brunei Perkasa Sektor Pelancongan Serantau - Dr Zaliha

13/05/2025 05:31 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Kerjasama strategik antara Wilayah Persekutuan dan Brunei dijangka mampu merancakkan sektor pelancongan serantau selain memperkukuh perkongsian teknologi serta pengetahuan kedua-dua negara.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang berada di Brunei hari ini untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan Brunei Datuk Seri Dr Abdul Manaf Metussin serta Menteri Pembangunan Brunei Datuk Seri Awang Mohd Juanda Abdul Rashid.

Beliau berkata kunjungan itu bertujuan mempromosikan Festival Flora Borneo yang bakal berlangsung di Labuan pada 26 hingga 30 Julai depan.

"Dalam pertemuan ini, saya turut menjemput Kerajaan Brunei menyertai festival berkenaan sebagai rakan strategik serantau dalam memartabatkan pelancongan berbasis alam dan florikultur.

“Kami turut berbincang mengenai usaha mencergas semula hubungan pelancongan antara Labuan dan Brunei khususnya dalam memperkasa laluan pelancongan serantau dan memperkenalkan semula destinasi Labuan sebagai hab pelancongan Borneo yang lestari dan strategik,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dr Zaliha berkata potensi kerjasama dalam perkongsian teknologi serta pengetahuan turut dibincang khususnya antara Kementerian Pembangunan Brunei dan Perbadanan Putrajaya yang membabitkan pemindahan teknologi seperti pemetaan pokok menggunakan sistem kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata kaedah pemetaan pokok menggunakan AI telah dilaksanakan sepenuhnya di Putrajaya sebagai sebahagian daripada agenda bandar pintar dan pengurusan landskap mampan. 

“Alhamdulillah, secara keseluruhannya pertemuan dengan kedua-dua menteri ini telah mencapai persefahaman amat positif.

“Insya-Allah, kerjasama teknikal susulan akan dilaksanakan antara Jabatan Wilayah Persekutuan, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan bagi memperinci bentuk pelaksanaan yang bersesuaian,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan