AM

Sokongan Berterusan Persekutuan Penting, Percepat Pembangunan Sarawak -- Abang Johari

10/05/2025 07:05 PM

MIRI, 10 Mei (Bernama) -- Sokongan berterusan Kerajaan Persekutuan penting dalam usaha Sarawak mempercepat pembangunan dan memastikan manfaatnya dinikmati seluruh rakyat.

Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata meskipun pelbagai kejayaan telah dicapai negeri itu sejak 61 tahun lepas namun masih banyak pembangunan ekonomi dan infrastruktur yang memerlukan hubungan erat antara pentadbiran Sarawak dan Persekutuan. 

"Justeru, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan beliau melalui aspirasi Malaysia MADANI yang mendukung hasrat rakyat Sarawak untuk menikmati kemajuan setanding dengan Semenanjung Malaysia," katanya dalam ucapan perasmian Program Bakti MADANI Miri 2025 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi.

Beliau berkata kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinannya sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan MADANI pimpinan Anwar demi pembangunan Sarawak khususnya dan pembangunan negara amnya.

"Dengan termeterainya hubungan yang erat di peringkat politik dan pentadbiran ini, sudah semestinya kita boleh menghadapi cabaran dan menyelesaikan apa-apa sahaja permasalahan yang menghalang proses pembangunan kita," katanya.

Abang Johari berkata Program Bakti MADANI Miri 2025 yang berlangsung tiga hari bermula semalam mencerminkan semangat setia kawan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak serta komitmen bersama kedua-dua pihak dalam menyampaikan perkhidmatan secara langsung kepada rakyat.

Menurutnya pemilihan tema 'Sarawak Maju Makmur' adalah selari dengan penubuhan Koridor Tenaga Diperbaharui (SCORE) pada 2008 yang turut merangkumi kawasan Miri. 

"Inisiatif di bawah pentadbiran Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi itu bertujuan membangunkan kawasan luar bandar dan merapatkan jurang pembangunan wilayah di Malaysia dengan menumpukan pada pelaburan dan aktiviti ekonomi berskala besar yang disokong pembangunan infrastruktur mega," katanya.

Menerusi penjanaan ekonomi di kawasan SCORE, beliau berkata kerajaan Sarawak yakin aspirasi ke arah transformasi ekonomi yang menekankan kepada kepelbagaian berteraskan industri bernilai tinggi dapat direalisasikan.

"Pada tahun ini, SCORE telah menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak dengan jumlah pelaburan bernilai RM125 bilion yang membuka lebih 53,000 peluang pekerjaan untuk anak-anak Sarawak," tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan