AM

Perokok, Lelaki Warga Emas Antara Tertinggi Hidap Tibi Di Pulau Pinang

10/05/2025 05:33 PM

BUKIT MERTAJAM, 10 Mei (Bernama) -- Tuberkulosis atau tibi kekal tersenarai antara lima penyakit berjangkit paling tinggi dicatatkan di Pulau Pinang, dengan perokok tegar dan warga emas, khususnya lelaki paling berisiko dijangkiti penyakit itu.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Bahagian Kesihatan Awam Dr Rozaini Mat Shah berkata ini kerana tahap imuniti badan yang rendah serta kesan buruk terhadap sistem pernafasan disebabkan tabiat merokok menjadikan individu dalam kumpulan itu lebih mudah terdedah kepada jangkitan tersebut.

“Berdasarkan pemerhatian pada tahun lepas, sebahagian besar kes tibi melibatkan golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas dengan majoritinya dalam kalangan lelaki, khususnya lelaki Melayu.

“Melalui data yang diperoleh, kita dapat kenal pasti beberapa kumpulan berisiko tinggi dan usaha serta intervensi kesihatan awam akan lebih difokuskan kepada kumpulan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang dan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Daerah Seberang Perai Tengah 2025 di sini hari ini.

Dr Rozaini berkata berdasarkan statistik tahun lepas, 1,273 kes baharu dan berulang penyakit tibi telah dilaporkan di Pulau Pinang berbanding 1,303 kes pada 2023 dengan kadar kematian yang direkodkan 125 kes berbanding 156 kes pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata meskipun data menunjukkan penurunan 2.3 peratus, tibi masih merupakan antara lima penyakit berjangkit utama di negeri ini selain demam denggi, keracunan makanan serta penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Justeru sebagai langkah berterusan, beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan mempergiatkan program pendidikan kesihatan berkaitan tibi secara konsisten di samping menyediakan rawatan di hospital, klinik kesihatan serta klinik respiratori di seluruh negeri.

Dr Rozaini turut menyarankan agar masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat sebagai usaha mencegah jangkitan penyakit yang boleh membawa risiko kesihatan.

Mengenai program hari ini, beliau berkata ia diadakan sempena Hari Tibi Sedunia yang disambut pada 24 Mac, bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit tersebut serta langkah pencegahan.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan