Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia memulakan minggu dagangan singkat dengan lebih positif hari ini, didorong oleh jangkaan ketara terhadap kemungkinan pengurangan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) negara maju itu, lewat malam ini.
Pada 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.16 mata kepada 1,601.29 daripada paras penutupan dagangan Jumaat lepas pada 1,600.13.
Bursa Malaysia dan anak-anak syarikatnya ditutup pada 15 September bersempena cuti umum tambahan Hari Malaysia pada 16 September.
Indeks utama itu dibuka menokok 2.09 mata pada 1,602.22 sebelum susut daripada kenaikan awal.
Pasaran secara meluas adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 286 berbanding 152 manakala 317 kaunter tidak berubah, 1,863 tidak diniagakan dan tujuh lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 173.30 juta saham dengan nilai RM150.38 juta.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee Shen Pin berkata bursa tempatan kelihatan stabil dan FBM KLCI dijangka bergerak dalam julat 1,595 hingga 1,610 hari ini.
Indeks FBM KLCI, katanya, sempat meningkat dan melepasi paras 1,600 pada 12 September, didorong oleh pembelian saat akhir menjelang cuti hujung minggu yang panjang.
“Walaupun kelangsungan momentum ini belum pasti, kekuatan pasaran menjadi asas menyokong julat dagangan yang stabil,” katanya kepada Bernama.
Yee berkata minat turut tertumpu kepada perbincangan antara Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping selepas kedua-dua negara mencapai persetujuan untuk membenarkan TikTok terus beroperasi di AS.
Di Wall Street, beliau berkata saham-saham ditutup rendah ketika peniaga mengambil untung masing-masing menjelang keputusan kadar faedah AS serta kenyataan oleh Pengerusi Rizab Persekutuan AS Jerome Powell mengenai hala tuju dasar.
Saham wajaran tinggi Maybank tidak berubah pada RM9.87, Public Bank naik satu sen kepada RM4.26, CIMB meraih sembilan sen kepada RM7.46, IHH meningkat 13 sen kepada RM7.38 namun Tenaga Nasional susut lapan sen kepada RM13.30.
Bagi saham aktif, Pharmaniaga dan Bumi Armada masing-masing naik setengah sen kepada 25.5 sen dan 34.5 sen, Notion untung empat sen kepada 53 sen, JCY naik dua sen kepada 33.5 sen dan VS Industry susut 1.5 sen kepada 53 sen.
Di pasaran meluas, Indeks FBM Emas menokok 27.45 mata kepada 11,890.17, Indeks FBMT 100 naik 23.63 mata kepada 11,647.40 manakala Indeks FBM Emas Shariah meraih 16.62 mata kepada 11,906.91.
Indeks FBM 70 melonjak 100.90 mata kepada 16,645.47 manakala Indeks FBM ACE menokok 14.73 mata kepada 4,817.00.
Bagi sektor pula, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.37 mata kepada 166.65, Indeks Perladangan naik 17.88 mata kepada 7,717.42, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 51.73 mata kepada 18,120.15, dan Indeks Tenaga naik 6.38 mata kepada 749.28.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial