KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Dari Borneo hingga ke Semenanjung, sambutan Hari Malaysia 2025 diraikan dengan penuh meriah menerusi pelbagai program sepanjang hari, menzahirkan semangat perpaduan serta kecintaan mendalam rakyat berbilang kaum terhadap tanah air ini.
Kemeriahan jelas terserlah apabila ribuan rakyat menghadiri acara kemuncak peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, Pulau Pinang, yang bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Acara berkenaan turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof selain pemimpin utama dari Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, di SARAWAK, sambutan peringkat negeri berlangsung meriah di Lapangan Terbang Lama Bintulu yang dibanjiri kira-kira 10,000 orang dengan kibaran Jalur Gemilang dan Ibu Pertiwi mewarnai suasana perhimpunan yang dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Turut hadir Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama anaknya Dayang Norjihan, barisan menteri kabinet negeri dan Persekutuan, kenamaan serta ketua-ketua jabatan.
Terdahulu, lebih 3,000 peserta menyertai Larian Hari Malaysia sejauh enam kilometer (km) di pekarangan Dewan Suarah Bintulu sebagai sebahagian pengisian acara sambutan.
Selain itu, sambutan Hari Malaysia ke-62 disemarakkan di beberapa negeri menerusi pelbagai program berunsur kenegaraan dan komuniti sekali gus mencerminkan semangat patriotisme yang tinggi dalam kalangan rakyat.
Di ibu negara, lebih 100 penduduk Taman Lucky, Bangsar, menyertai program ‘Malaysia Day Walk’ sejauh tiga kilometer anjuran Persatuan Penduduk Taman Lucky, bertujuan memupuk perpaduan dalam kalangan komuniti setempat.
Acara yang bermula awal pagi itu disertai wakil agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sekali gus mewujudkan suasana harmoni dan penuh semangat patriotisme.
Sambutan di KELANTAN turut mencuri tumpuan dengan perarakan dua ekor gajah jinak, Sanum dan Chery, berhampiran Istana Balai Besar, Kota Bharu, dalam suasana yang diwarnai unsur kebudayaan apabila lebih 500 pengunjung yang sebahagiannya mengenakan pakaian tradisional lengkap dengan tanjak dan sampin.
Di JOHOR, seorang murid berusia 10 tahun, Saif Islam Abdul Rahman, menarik perhatian ramai di Pasar Muafakat Sabah, Johor Bahru, apabila memperagakan kostum pahlawan Iban bertemakan Jalur Gemilang, yang direka ibunya menggunakan bahan kitar semula sebagai usaha kreatif memperkenalkan warisan Sarawak melalui pendekatan lestari.
Sambutan Hari Malaysia tahun ini turut diraikan rakyat Malaysia di luar negara termasuk anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 yang kini melaksanakan misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan, dengan penganjuran acara ‘Fun Run’ sejauh 10km bagi memupuk semangat patriotisme dalam kalangan anggota.
Kedutaan Besar Malaysia di Laos turut menganjurkan majlis resepsi Hari Malaysia yang mengetengahkan aspirasi negara selain memperkukuh hubungan dua hala dengan kerajaan Laos.
Hari Malaysia disambut pada 16 Sept setiap tahun bagi memperingati pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963 menerusi Perjanjian Malaysia 1963 yang menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak di bawah satu negara berdaulat.
Sementara itu, ribuan rakyat turut memeriahkan majlis Sambutan Hari Malaysia 2025 Peringkat Negeri Pahang di Dataran Raub malam ini yang diserikan dengan pelbagai persembahan antaranya Tarian Muzikal Pembentukan Malaysia dan deklamasi sajak “Kita Anak Merdeka”.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam ucapannya berkata semua rakyat diseru menghayati sepenuh hati sejarah penubuhan negara ini dengan kepelbagaian kaum, budaya dan agama yang menjadi kekuatan utama Malaysia.
"Kita tidak boleh lupa bagaimana Sabah dan Sarawak penuh ikhlas menyertai pembentukan Malaysia dengan hasrat dan cita-cita besar untuk bersama membangunkan sebuah negara yang bersatu dan sejahtera. Inilah roh Hari Malaysia yang perlu terus kita pelihara," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial