AM

Kerajaan Komited Wujudkan Persekitaran Digital Selamat, Inklusif - Fahmi

16/09/2025 09:54 PM

BUTTERWORTH, 16 Sept (Bernama) --  Kerajaan MADANI komited untuk mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat, inklusif dan dipercayai dalam usaha melindungi kepentingan negara, kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata bagi mencapai tujuan itu, kerajaan melaksanakan program kesedaran berskala nasional iaitu Kempen Internet Selamat (KIS) bertujuan memperkukuh kesedaran dalam menghadapi pelbagai cabaran keselamatan digital.

Ia termasuk penipuan dalam talian, perjudian digital, buli siber, kandungan penderaan seksual kanak-kanak serta penyalahgunaan media sosial oleh kanak-kanak di bawah umur 13 tahun.

“Marilah kita memainkan peranan bersama-sama dalam membina ruang digital dan dunia komunikasi yang positif dengan menyebarkan kisah kejayaan, inspirasi dan nilai-nilai murni yang mampu menyatukan bukan memecah-belahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan 'Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni' di Pusat Konvensyen PICCA@Arena di sini, malam ini yang dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow selaku tuan rumah, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025) turut menekankan inisiatif kerajaan dalam memperluas capaian digital menerusi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) MADANI termasuk di kawasan luar bandar.

“Dua hari lepas, saya telah merasmikan NADI MADANI Penanti, satu daripada 42 NADI di Pulau Pinang. Langkah ini merupakan usaha Kementerian Komunikasi untuk memperluas inisiatif digital yang menjangkau seluruh rakyat, tanpa mengira lokasi atau latar belakang.

“Melalui inisiatif NADI MADANI, lebih ramai rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, akan mendapat akses kepada Internet berkelajuan tinggi, latihan literasi digital serta peluang untuk menceburi ekonomi dalam talian.

Sementara itu, Fahmi berkata pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia mencerminkan hasrat kerajaan untuk memastikan sambutan kebangsaan yang lebih inklusif dan menyeluruh, merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata negeri itu bukan sahaja terkenal dengan kepelbagaian budaya dan sejarah malah menjadi contoh hidup perpaduan yang harmoni seperti yang terlihat di kawasan Street of Harmony di George Town.

“Di sini kita melihat Masjid Kapitan Keling berdiri bersebelahan dengan Kuil Sri Mahamariamman, Gereja St. George dan Kuil Kuan Yin yang melambangkan keharmonian antara agama dengan budaya.

“Pulau Pinang membuktikan perpaduan bukan sekadar slogan tetapi turut menjadi satu amalan yang hidup subur,” katanya.

Sambutan Hari Malaysia kali ini berlangsung di Pulau Pinang selaras amalan penggiliran lokasi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan