BUTTERWORTH, 16 Sept (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan semangat kesatuan, kebersamaan dan perpaduan merupakan kunci utama mengatasi pelbagai cabaran dalam perjalanan membina negara bangsa.
Dalam ucapan pada sambutan Hari Malaysia 2025 hari ini, Hajiji berkata 16 Sept menjadi tarikh keramat yang perlu sentiasa diingati sebagai hari tertubuhnya Malaysia dan tarikh bersejarah yang menjadikan negara berdaulat dan merdeka.
"Sebagai rakyat Malaysia, kita harus berbangga serta mengingati detik penting ini. Pembentukan Malaysia telah membawa banyak nikmat dan manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat, namun perjalanan membina negara masih panjang, berliku dan tidak terlepas daripada cabaran.
“Oleh itu, hanya dengan adanya kesatuan, kebersamaan dan perpaduan, semua cabaran ini dapat diatasi,” katanya dalam video ucapan yang ditayangkan pada sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, di sini malam ini.
Beliau turut mengajak rakyat menghayati tema sambutan Hari Malaysia tahun ini, “Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni” yang mencerminkan keprihatinan serta komitmen kerajaan terhadap kebajikan rakyat.
Hajiji berkata prinsip Malaysia MADANI gagasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan unsur ihsan, kesejahteraan rakyat, keadilan, perpaduan dan pembangunan saksama untuk semua.
Beliau juga berkata semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara perlu terus disemarakkan agar perpaduan serta keharmonian rakyat pelbagai bangsa dan agama kekal terpelihara di bumi Malaysia.
Terdahulu, Anwar, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah hadir memeriahkan sambutan malam ini.
Edisi sambutan Hari Malaysia kali ini berlangsung di Pulau Pinang selaras dengan amalan penggiliran lokasi penganjuran acara itu antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial