KLUANG, 16 Sept (Bernama) -- Kluang yang sinonim dengan identiti kereta api dan keenakan kopinya, kini kembali menjadi sebutan apabila perkhidmatan Tren Elektrik (ETS3) Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang baru beroperasi menarik kehadiran pengunjung luar untuk datang mencuba pengalaman baharu menerokai daerah itu.
Perkhidmatan ETS3 menjadikan Kluang yang baru sahaja diisytihar sebagai daerah paling bahagia itu lebih mudah untuk diakses, sekali gus berupaya menjadikannya sebagai destinasi pilihan bagi percutian singkat bersama-sama keluarga, misalnya pada musim cuti persekolahan dan sambutan Hari Malaysia hari ini.
Terbuka sahaja pintu kereta api, pengunjung hanya perlu berjalan sejauh kira-kira 200 meter untuk menikmati aroma kopi pekat dan roti bakar di Kluang Rail Coffee yang merupakan kopitiam ikonik dan tertua di daerah itu.
Beberapa langkah lagi pula akan membawa mereka ke Laman Rel Mahkota, iaitu perintis laman rel di negara ini dengan kawasan landasan kereta api lama dinaik taraf sebagai lokasi riadah dan aktiviti komuniti, sekali gus menjadi simbol penghargaan kepada identiti Kluang sebagai "Bandar Kereta Api" sejak 1990.
Kemeriahan Kluang, bandar terbesar ketiga di Johor yang terletak kira-kira 110 kilometer dari ibu negeri itu bukan sahaja diserikan dengan pengunjung luar, tetapi turut diraikan penduduk setempat di situ yang menyifatkan bandar berkenaan semakin meriah dengan kedatangan pelancong domestik.
N. Sangeetha, 40, seorang guru di sini antara yang meluangkan masa cuti sekolah bersama-sama 10 rakannya mengunjungi Laman Rel Mahkota Kluang, sebuah taman awam ikonik sepanjang 2.8 kilometer yang terletak bersebelah dengan Stesen Kluang, sementara menunggu tren seterusnya.
“ETS3 ini banyak memudahkan pergerakan kami, senang bergerak dari bandar ke bandar, tak perlu menghadap kesesakan. Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan ETS3 di tempat kami, memang bahagialah di sini,” katanya berseloroh.
Wani Nasir, 20, dari Selangor yang menuntut di Institut Veterinar Malaysia (IVM) Kluang berkata perkhidmatan ETS3 memudahkannya untuk berulang-alik ke kampung halamannya dengan lebih selesa pada kadar tambang berpatutan.
Sementara itu, Emilia Dalila Adi, 20, dari Segamat turut memanfaatkan cuti Hari Malaysia hari ini dengan membawa tujuh sekeluargnya menjelajah di sekitar bandar itu dengan mengunjungi Laman Kreatif Kluang, Rumah Seni dan merasai keenakan kopi yang terkenal di daerah itu.
“Bagaimanapun, saya berharap agar pengangkutan awam ditambah baik di kawasan ini, misalnya sediakan bas untuk ke tempat-tempat pelancongan. Sekarang ini kami menggunakan perkhidmatan e-hailing, tetapi ada kalanya permintaan tinggi, jadi kami terpaksa tunggu lama,” katanya.
Meskipun sudah biasa ke Kluang, Rohana Kasman, 59, bersama dengan tiga ahli keluarganya sanggup menaiki bas dari Batu Pahat ke Kuala Lumpur untuk merasai pengalaman kali pertama menaiki ETS3 dari ibu kota itu.
"Saya memang teruja hendak naik ETS3, ketika tiket mula dijual saya terus beli sebab nak merasa naik kereta api baharu. Kebetulan cuti sekolah lagilah meriah," katanya.
Dalam pada itu, anak jati Kluang, Zaiton Ibrahim, 70, melahirkan perasaan terharu apabila daerah itu semakin rancak membangun dan menjadi perhatian ramai.
"Bersyukur sangatlah kami, stesen kereta api semakin canggih, ditambah dengan Laman Rel Mahkota. Bagi saya, walaupun bandar kami kecil, tempat ini sudah mencukupi kerana ada kelainan, orang luar kena datang ke sini," katanya.
Pengarah Kluang Rail Coffee Lim Ben Winn pula berkata operasi ETS3 melonjakkan lagi perniagaannya dan menarik kehadiran lebih ramai penggemar kopi yang sanggup menaiki kereta api itu untuk merasai keenakan minuman itu.
"Kita memang nampak kehadiran pelancong semakin ramai, terutama pada musim cuti, ada yang datang dari Tampin, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur semata-mata hendak rasa kopi kita. Malah, ada yang kongsi maklumat, tiket ke Kluang sudah penuh (habis terjual)," katanya.
Terdahulu, tinjauan Bernama mendapati Stesen Kluang penuh sesak dengan kira-kira 200 penumpang yang menaiki ETS3 dari KL Sentral yang tiba pada 11.15 pagi tadi.
ETS3 bagi laluan selatan telah beroperasi pada 30 Ogos lepas yang melibatkan laluan Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) – Kluang – KL Sentral.
Pada 23 Ogos, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut berkenan berangkat merasmikan ETS3 bagi laluan selatan di Stesen Kuala Lumpur.
Usai Majlis Peluncuran Khas ETS3, Sultan Ibrahim berkenan memandu sendiri tren ETS3 yang berkeupayaan mencecah kelajuan operasi hingga 140 km/j itu, menuju ke Stesen Kluang di Johor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial