BUTTERWORTH, 16 Sept (Bernama) -- Kementerian Komunikasi merancang untuk melaksanakan program Kembara Internet menerusi kerjasama strategik antara Bernama Mobile Studio dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kerjasama itu penting bagi memastikan program turun padang tersebut dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan terutama dalam menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat serta menilai sendiri isu berkaitan liputan Internet di pelbagai kawasan.
Beliau berkata hal ini kerana Bernama Mobile Studio mempunyai keupayaan teknikal dan logistik yang sesuai untuk menjayakan misi komunikasi di lapangan, menjadikan ia aset penting dalam pelaksanaan program berkenaan.
“Kita kena bawa jelajah (Bernama Mobile Studio) ini... mungkin kita kena JV (jalin usaha sama) dengan MCMC untuk buat satu program Kembara Internet... pergi buat semakan.
“Bernama Mobile Studio banyak membantu, kita boleh pergi ke lapangan dan sangat mudah untuk kita buka dan terus operate,” katanya dalam program temu bual di Bernama Mobile Studio sempena Sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena di sini hari ini.
Sehubungan itu, Fahmi berharap kerjasama itu dapat diperluas dengan pelaksanaan lebih banyak program seumpamanya di masa hadapan termasuk dalam konteks acara rasmi kerajaan.
Turut menjadi tetamu dalam program itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa serta dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Bernama Mobile Studio adalah sebuah kenderaan jenis motorhome yang digunakan sebagai medium baharu penyiaran meliputi kandungan berita langsung dari lokasi, program Bernama TV dan Bernama Radio serta acara-acara besar.
Mampu bersiaran secara langsung dengan produksi berbilang kamera, kenderaan itu juga boleh beroperasi di kawasan kritikal tanpa bekalan elektrik seperti liputan bencana dan lokasi terpencil.
Sementara itu, Fahmi dalam temu bual tersebut turut mengingatkan orang ramai supaya mengelak daripada terjebak dengan jenayah buli dalam talian dan menjadi mangsa penipuan dalam talian yang semakin berleluasa ketika ini.
“Sebagai orang yang menggunakan media sosial, saya ingin sampaikan pesan jangan terlalu mudah percaya kepada hantaran-hantaran dalam media sosial... kita mesti berhati-hati.
“Kita mahu Malaysia dan rakyatnya bebas daripada penjajahan... kita nak bebas daripada buli dan kita juga nak bebas daripada apa-apa jenis penipuan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial