EKONOMI

Risiko Penipuan Dikuasakan AI Meningkat, Sektor Utama Digesa Tingkat Sistem Pertahanan – Fortinet

16/09/2025 10:44 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Penipuan yang dijana kecerdasan buatan (AI) pantas muncul sebagai ancaman keselamatan siber yang ketara di Malaysia, dengan institusi kewangan, agensi kerajaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan sektor runcit antara yang paling terdedah, kata firma keselamatan siber Fortinet.

Pengurus Negara Fortinet Malaysia Kevin Wong memberi amaran bahawa institusi kewangan dan agensi sektor awam menjadi sasaran utama kerana data sensitif mereka, manakala PKS berdepan risiko yang lebih tinggi kerana ramai yang masih bergantung kepada peralatan tradisional seperti perisian antivirus dan proses pengesahan manual.

“PKS merupakan teras utama ekonomi Malaysia tetapi terdedah secara tidak seimbang kepada serangan siber yang dipacu AI. Tidak seperti perusahaan yang lebih besar, kebanyakan mereka beroperasi dengan pasukan teknologi maklumat (IT) yang sangat terhad, kadangkala hanya seorang individu menguruskan kedua-dua IT dan keselamatan siber.

“Kapasiti yang terhad ini menyukarkan usaha untuk memantau sistem secara berterusan, bertindak balas dengan pantas terhadap amaran, atau mengikuti perkembangan kaedah serangan,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual menerusi e-mel.

Beliau turut menekankan bahawa penjenayah siber memanfaatkan AI untuk penyetempatkan penipuan dengan ketepatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, menggunakan peralatan seperti ‘FraudGPT’ dan ‘ElevenLabs’, yang membolehkan pengklonan suara, replikasi corak pertuturan dan penjanaan palsu tulen. 

“Dalam konteks Malaysia yang berbilang bahasa, penjanaan AI boleh meniru Bahasa Malaysia, Mandarin, Tamil, dan dialek tempatan, malah menguasai loghat, simpulan bahasa dan slanga.

“Penyetempatan ini menjadikan penipuan seperti biasa dan boleh dipercayai, meningkatkan kadar kejayaan secara mendadak,” tambahnya.

Menurut Wong, peniagaan kecil, termasuk dalam sektor runcit dan pengguna, semakin menjadi sasaran ancaman dikuasakan AI, terutama semasa musim perayaan apabila perbelanjaan dalam talian meningkat.

“Peralatan AI membolehkan penipu memperibadikan percubaan pancingan data seperti pemberitahuan penghantaran palsu, promosi atau permohonan derma, menjadikan lebih sukar untuk mengesan mereka,” katanya.

Memetik tinjauan Perbadanan Data Antarabangsa (IDC) baru-baru ini, Wong berkata hampir 50 peratus daripada organisasi di Malaysia melaporkan berdepan ancaman dikuasakan AI pada tahun lepas, dengan lonjakan tiga kali ganda dialami oleh kebanyakan syarikat terjejas.

 

Ancaman fizikal siber hibrid menjadi kebimbangan 

 

Menuju ke hadapan, Wong berkata perisian tebusan, serangan rantaian bekalan, dan eksploitasi sifar hari akan kekal menjadi kebimbangan yang mendesak, manakala serangan siber fizikal hibrid, kempen maklumat salah, dan penyamaran palsu asli berkebolehan dijangka meningkat dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Beliau berkata maklumat salah dan penyamaran juga akan meningkat apabila teknologi palsu asli menjadi arus perdana.

“Keupayaan untuk mencipta identiti palsu, mengautomatikkan sasaran dan penjanaan kandungan suara atau video dengan segera dan meyakinkan bukan sahaja menimbulkan risiko keselamatan tetapi cabaran serius terhadap kepercayaan awam dan reputasi jenama.

“Kami menjangkakan penumpuan risiko siber dan fizikal akan dipercepatkan - AI akan semakin digunakan untuk mengatur serangan hibrid, apabila kempen kejuruteraan sosial diterjemahkan kepada penipuan fizikal, pemerasan, malah sabotaj infrastruktur,” kata Wong.

Oleh itu, beliau menekankan bahawa perniagaan di Malaysia mesti meluaskan tumpuan mereka melangkaui penipuan AI dengan risiko yang lebih besar yang datang dengan pantas menerusi pendigitalan.

“Pelaburan dalam teknologi operasi, operasi keselamatan (SecOps), dan perlindungan awan masih ketinggalan, meninggalkan jurang yang boleh dieksploitasi oleh serangan canggih,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan