AM

Empat Lagi Ditemukan Maut Dalam Tanah Runtuh Di Kampung Cenderakasih

15/09/2025 04:41 PM

KOTA KINABALU, 15 Sept (Bernama) -- Empat lagi mangsa ditemukan maut dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Cenderakasih di sini, menjadikan angka korban kini meningkat kepada lima orang.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah ketika dihubungi berkata pasukan penyelamat dengan bantuan penduduk setempat sedang mencari dua lagi mangsa yang dipercayai tertimbus dalam kejadian itu.

“Sebanyak 11 mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tanah runtuh itu, manakala empat mangsa telah berjaya keluar dari runtuhan dengan selamat,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian daripada orang ramai pada 10.02 pagi, sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat Lintas tiba di tempat kejadian pada 10.24 pagi.

Orang ramai, katanya tidak digalakkan ke tempat kejadian pada masa ini kerana kawasan itu masih berbahaya dan penduduk dinasihat untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

Dalam kes berasingan, tiga lagi individu dilaporkan tertimbus dalam kejadian tanah runtuh menghempap rumah di Kampung Marahang Tuntul, dekat Papar, pagi tadi.

JBPM Sabah memaklumkan dua mangsa tertimbus itu telah dijumpai pihak penyelamat, namun nasib mereka belum diketahui.

“Kerja-kerja membawa keluar mangsa sedang dijalankan manakala seorang lagi mangsa belum dijumpai,” menurut kenyataan itu.

JBPM Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 9.20 pagi dan 16 anggota Balai Bomba Penyelamat Papar digegaskan ke lokasi terletak sejauh 13 kilometer.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan