AM

Lebih 34,000 Titik Akses Wifi Dipasang Di Hampir Semua IPTA Seluruh Negara - Fahmi

15/09/2025 03:45 PM

BUKIT MERTAJAM,15 Sept (Bernama) -- Lebih 34,000 titik akses kemudahan WiFi siap dipasang di hampir semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara dalam usaha menaik taraf capaian Internet.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Kementerian Pendidikan Tinggi juga memohon sejumlah titik akses tambahan kerana sesetengah kampus tidak mengemukakan permohonan dalam fasa pertama dan kedua pelaksanaannya.

“Saya telah meminta supaya pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk meneliti permohonan tersebut dan kita cuba untuk laksanakan dengan segera.

“Jumlah yang dipohon tidak boleh disahkan lagi kerana MCMC perlu melakukan kajian terperinci terhadap lokasi kampus yang inginkan WiFi tersebut,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan projek WiFi IPTA di Politeknik Seberang Perai di sini hari ini.

Projek di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) seliaan MCMC itu dilaksanakan bagi memperkukuh capaian Internet berkelajuan tinggi di kampus IPTA seluruh negara.

Penyediaan kemudahan rangkaian yang lebih stabil dan menyeluruh untuk kegunaan pelajar serta warga IPTA itu sejajar dengan usaha Kerajaan MADANI ke arah memperluas capaian digital kepada semua lapisan masyarakat.

Sementara itu, Fahmi yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Pulau Pinang berkata beliau berpuas hati dengan tahap kelajuan Internet di Politeknik Seberang Perai yang mempunyai 554 titik akses dengan kelajuan sekitar lebih 300Mbps, menggunakan peranti WiFi 7. 

“Ini satu perkara yang baik kerana kalau sebelum ini, terutama di residensi, mereka yang tinggal di tingkat lebih tinggi tidak dapat WiFi tetapi sekarang kita telah sediakan untuk hampir setiap bilik.

“Jadi, mereka boleh menggunakannya untuk melakukan tugasan, kerja-kerja kajian, ulang kaji dan sebagainya dengan sangat mudah,” katanya.

Terdahulu, beliau meluangkan masa beramah mesra dengan 70 pelajar politeknik yang menyertai Kempen Internet Selamat termasuk mereka yang hadir secara dalam talian.

Kempen itu bertujuan memperkasa golongan belia dalam aspek keselamatan siber dan literasi digital dengan tumpuan empat isu utama yang memberi impak besar kepada kehidupan mereka iaitu penipuan dalam talian, buli siber, risiko perkongsian maklumat peribadi secara berlebihan serta penyebaran maklumat palsu.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Urusan MCMC Abdul Karim Fakir Ali.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan