EKONOMI

Takaful Malaysia Tawar Perlindungan Insurans Bukan Motor

12/09/2025 05:27 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia) meluaskan portfolionya melangkaui kekuatan terasnya dalam produk berkaitan kredit dan takaful motor dengan menawarkan perlindungan insurans hayat individu.

Takaful Malaysia dalam satu kenyataan berkata langkah yang berpandangan jaug itu seiring dengan trend kehidupan mampan dan meletakkan syarikat insurans itu merebut peluang pertumbuhan baharu dalam segmen pelanggan baharu muncul.

Kumpulan itu bersedia untuk mengembangkan perniagaan takaful amnya selain daripada perlindungan motor, mengenal pasti peluang ketara untuk mengukuhkan kehadirannya dan memperoleh kelebihan daya saing dalam segmen dengan hanya empat pemain aktif dengan menawarkan penyelesaian takaful bukan motor yang komprehensif seperti kebakaran, solar, kemalangan diri dan produk-produk perlindungan aset lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nor Azman Zainal berkata inisiatif itu mencerminkan pendekatan proaktif syarikat dalam memastikan Takaful Malaysia kalis masa depan.

“Dengan melabur dalam inovasi, memperluaskan pengedaran dan mempelbagaikan campuran produk kami, meletakkan kumpulan untuk pertumbuhan pendapatan yang mampan dan mencipta nilai pemegang saham jangka panjang.

“Tumpuan kami kekal untuk mengukuhkan bahagian pasaran, ia akan menjadi pemacu utama dalam menyokong keuntungan yang mampan dan mengekalkan sentimen pasaran yang positif,” katanya.

Pada masa sama, Takaful Malaysia sedang meneroka pasaran runcit keluarga dengan tumpuan kepada perlindungan insurans hayat dan perlindungan insurans bagi penyakit kritikal, segmen yang menawarkan potensi besar kerana kadar penembusannya rendah iaitu kira-kira 21 peratus.

Sebagai sebahagian daripada pengembangan strategik, kumpulan itu juga berhubung dengan pelanggannya secara terus melalui platform digitalnya, Kaotim, menawarkan pelan perlindungan dalam talian yang kompetitif, komprehensif dan mampu milik untuk rakyat Malaysia.

Sementara itu, Takaful Malaysia mencatat pencapaian besar dengan memperoleh perjanjian Bancassurance Eksklusif 20 Tahun dengan RHB Islamic Bank, antara kerjasama jangka panjang yang paling penting dalam industri takaful Malaysia.

Perjanjian itu memberikan hak tunggal kepada Takaful Malaysia untuk mengedarkan penyelesaian takaful keluarga dan am ke seluruh rangkaian cawangan RHB yang luas, selain memanfaatkan penyelesaian pengurusan kekayaan untuk klien RHB.

Perkongsian itu mengukuhkan lagi kedudukan utama kumpulan dalam bancatakaful dan menyediakan asas yang kukuh untuk pertumbuhan hasil berulang dalam tempoh dua dekad akan datang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan