AM

Program Sarapan Pagi MADANI Diperluas Ke Lebih Banyak Sekolah Di Kuala Lumpur

11/09/2025 09:24 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Program Sarapan Pagi MADANI akan diperluaskan ke lebih banyak sekolah di ibu negara sebagai langkah intervensi awal bagi memastikan anak-anak memulakan hari mereka dengan pemakanan yang berkhasiat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata program itu dimulakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permaisuri dan akan diteruskan dengan 13 sekolah rendah di Kuala Lumpur melibatkan 10,000 murid. 

“Saya luluskan sedikit peruntukan tambahan dan minta penganjur memanjangkan program ini ke lebih banyak sekolah di Kuala Lumpur.

“Setiap ringgit yang dilaburkan adalah pelaburan jangka panjang untuk kesihatan, kecerdasan dan produktiviti generasi akan datang. Inilah makna ihsan dalam roh MADANI, iaitu kita sama-sama usaha dalam membina generasi sihat, cerdas dan berdaya saing,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Dr Zaliha menghadiri pelancaran Program Sarapan Pagi MADANI Peringkat Kuala Lumpur bersama murid SK Seri Permaisuri di Cheras.

Beliau berkata pelbagai kajian berkaitan malnutrisi kanak-kanak, termasuk di Kuala Lumpur mendapati berlaku beban berganda kekurangan zat makanan, dengan ada anak-anak mengalami kekurangan zat makanan dan ada juga yang terlebih kalori tanpa khasiat yang mencukupi.

“Risikonya adalah akan berlaku keadaan lemah imuniti, ada masalah untuk fokus dalam pelajaran dan akhirnya kurang produktif apabila dewasa.

“Ini adalah tanda-tanda kekurangan zat yang berpanjangan. Anak-anak ini juga berpotensi untuk mengalami penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi apabila mereka dewasa nanti,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan