AM

Siasat Segera Insiden Serang OCPD Dang Wangi, Bawa Pelaku Ke Muka Pengadilan - Saifuddin

11/09/2025 04:25 PM

PUTRAJAYA, 11 Sept (Bernama) -- Pihak berkuasa diarahkan segera melaksanakan siasatan rapi berhubung insiden serangan terhadap Ketua Polis Daerah (OCPD) Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman bagi memastikan dalang serta pelaku yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi kenyataan berkata insiden menyerang hingga mencederakan seorang penjawat awam hari ini iaitu Ketua Polis Daerah Dang Wangi merupakan satu tindakan keji, tidak bertamadun dan tidak boleh diterima sama sekali.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ini. Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyuarakan pandangan, namun kebebasan ini tidak boleh disalah guna dan mesti dipatuhi dalam kerangka undang-undang, adab serta norma masyarakat,” katanya.

Sulizmie Affendy dilaporkan cedera di kepala dipercayai terkena balingan batu oleh individu tidak dikenali ketika mengawal keadaan dalam operasi pemotongan bekalan elektrik beberapa rumah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur hari ini.

Operasi berkenaan dijalankan susulan arahan mahkamah berhubung proses perobohan struktur rumah di kawasan itu.

Saifuddin Nasution berkata Malaysia adalah sebuah negara berdaulat yang berlandaskan undang-undang, setiap warga perlu menghormati prinsip kedaulatan undang-undang itu dan mengelakkan sebarang tindakan bercanggah dengan peraturan negara.

“Keselamatan dan kesejahteraan rakyat, serta integriti pasukan keselamatan negara, adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi,” katanya.

Beliau berkata kerajaan sentiasa menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan menyatakan pendirian.

“Prinsip ini konsisten dipelihara sejak sekian lama dengan pelbagai himpunan yang berlangsung tanpa sekatan, selagi mana ia mengikut lunas undang-undang.

“Namun, kebebasan ini hadir bersama tanggungjawab. Ia menuntut semua pihak untuk mematuhi hukum, adab, serta undang-undang negara,” katanya.

Beliau menegaskan yang kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana usaha menyalahgunakan hak berhimpun untuk tujuan politik sempit, mencetuskan suasana tidak tenteram, atau menghasut kebencian melalui maklumat palsu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan