KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam insiden serangan terhadap Ketua Polis Daerah (OCPD) Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman oleh pihak tidak bertanggungjawab, menyifatkannya sebagai perbuatan keji.
Beliau menegaskan kerajaan menghormati hak berhimpun secara aman dan menyatakan pendirian, sebagaimana yang dibuktikan melalui pelbagai himpunan sebelum ini.
Bagaimanapun, Anwar berkata prinsip kebebasan itu perlu disertai rasa tanggungjawab serta pematuhan terhadap hukum, adab dan undang-undang.
“Insiden menyerang sehingga mencederakan penjawat awam yakni Ketua Polis Daerah Dang Wangi oleh pihak berkepentingan dan tidak bertanggungjawab adalah perbuatan keji dan mesti dikecam.
“Saya telah menggesa pihak berkuasa untuk segera menjalankan siasatan dan lekas memberkas dalang dan penyerang yang bertanggungjawab mencederakan,” kata Anwar menerusi catatan di Facebook, hari ini.
Sulizmie Affendy dilaporkan cedera di kepala dipercayai terkena balingan batu oleh individu tidak dikenali ketika mengawal keadaan dalam operasi pemotongan bekalan elektrik beberapa rumah di Kampung Sungai Baru, di sini hari ini.
Operasi berkenaan dijalankan susulan arahan mahkamah berhubung proses perobohan struktur rumah di kawasan itu.
Difahamkan, anggota polis yang bertugas turut mengarahkan penduduk yang berkumpul supaya bersurai, namun sebahagian daripada mereka enggan beredar dan terus melakukan provokasi.
Menurut Perdana Menteri, himpunan aman tidak seharusnya disalah guna untuk kepentingan politik sempit yang boleh mencetuskan suasana tidak tenteram dalam kalangan penduduk.
Beliau turut menegaskan keganasan yang dipupuk melalui hasutan, kebencian dan maklumat palsu tidak boleh sama sekali dibiarkan berakar dalam masyarakat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial