SIBU, 11 Sept (Bernama) -- Kepala seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya ketika mandi di jambatan sungai berhampiran kediamannya di Kampung Siang-Siang Laut, Terusan, Lawas pada petang Selasa lalu, ditemukan lewat malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata kepala mangsa dijumpai penduduk kampung kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
“Sebaik menerima panggilan pada 11.20 malam, pasukan keluaran operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, diketuai Komander Operasi PBKI Awang Adani Damit dan Komander Operasi Kanan PPgB Clarence D. Primus Tiandun, digerakkan ke lokasi sejauh 22 kilometer.
“Pada 12.45 tengah malam, selepas pengesahan dibuat oleh ahli keluarga, objek yang ditemukan disahkan sebagai kepala milik mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula pagi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang Selasa lalu, mangsa Tuah Lamat, 80, dilaporkan hilang selepas mandi di jambatan sungai berdekatan rumahnya.Ahli keluarga hanya menjumpai tuala dan selipar dipercayai miliknya di lokasi.
Penduduk kampung kemudian melancarkan pencarian menggunakan perahu di sepanjang sungai namun gagal menemui mangsa sebelum menghubungi pihak bomba untuk bantuan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial