SUKAN

Ubaidullah Malu, Hampa Gagal Pimpin Harimau Muda Ke Piala Asia B-23 2026

10/09/2025 09:15 PM

SEPANG, 10 Sept (Bernama) -- Bukan sahaja kecewa, malah ketua pasukan skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili mengakui berasa malu kerana gagal mengemudi rakan sepasukan melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2026 di Arab Saudi.

Ubaidullah berkata suasana bilik persalinan di Stadium Thammasat, Pathum Thani, muram selepas mereka tumpas 1-2 kepada tuan rumah Thailand pada aksi terakhir Kumpulan F, malam tadi.

“Ada (pemain) yang menangis, ada yang senyap dan kecewa. Jadi, nak buat macam mana, kita sudah cuba yang terbaik, namun akhirnya Tuhan juga yang menentukan segalanya.

“Ada juga sudut positif dari segi corak permainan dengan taktikal yang diterapkan jurulatih, tetapi pada akhirnya kalau main bagus sekali pun, tanpa keputusan positif ia tidak membawa apa-apa faedah kepada pasukan,” katanya kepada pemberita sebaik tiba di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Keputusan semalam menyaksikan Thailand muncul juara Kumpulan F dengan tujuh mata, sekali gus melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia B-23 tahun depan, manakala tempat kedua menjadi milik Lubnan berdasarkan perbezaan jaringan.

Skuad bimbingan Mohd Nafuzi Zain menutup kempen kelayakan di tangga ketiga Kumpulan F dengan tiga mata hasil kemenangan 7-0 ke atas Mongolia.

Malaysia sebelum ini pernah layak ke pusingan akhir pada edisi 2018, 2022 dan 2024, dengan pencapaian terbaik mara ke suku akhir pada 2018.

Sementara itu, Nafuzi berkata walaupun hampa gagal membawa pasukan ke Arab Saudi tahun depan, beliau tetap berpuas hati dengan komitmen dan semangat juang tinggi dipamerkan Harimau Muda.

Beliau berharap skuad negara dapat mengurangkan kesilapan serta memperkemaskan permainan bagi bangkit lebih garang menggenggam pingat pada Sukan SEA 2025 di Thailand.

— BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan