DUNIA

Angka Korban Kebuluran Di Gaza Meningkat Kepada 404 Termasuk 141 Kanak-kanak

10/09/2025 07:13 PM

MOSCOW, 10 Sept (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Jumlah kematian akibat kekurangan zat makanan di Semenanjung Gaza yang berpunca daripada sekatan Israel meningkat kepada 404 orang termasuk 141 kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Gaza pada Rabu, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Dalam tempoh 24 jam lalu, Kementerian Kesihatan Gaza merekodkan lima kematian akibat kelaparan dan kekurangan zat makanan, termasuk seorang kanak-kanak. Ini menjadikan jumlah keseluruhan korban kebuluran kepada 404 orang, termasuk 141 kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.

Pada Ogos sahaja, 185 orang meninggal dunia akibat kebuluran di Gaza, iaitu angka bulanan tertinggi sejak sekatan diperketat pada Mac tahun ini. Ketika ini, 43,000 kanak-kanak bawah usia lima tahun serta lebih 55,000 wanita hamil dan menyusu mengalami kekurangan zat makanan, menurut pihak berkuasa tempatan.

Pada 22 Ogos, Program Makanan Sedunia (WFP) mengesahkan tahap kebuluran di Semenanjung Gaza telah mencapai tahap bencana buat pertama kali sejak konflik bermula pada 2023.

Menurut Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, terdapat lima fasa kekurangan zat makanan, dengan fasa tiga hingga lima menandakan tahap kebuluran serius. Analisis terkini menunjukkan keadaan di Semenanjung Gaza memadai untuk mengisytiharkan kategori paling ekstrem iaitu kebuluran, kata WFP.

Menjelang akhir September, lebih 640,000 orang di seluruh wilayah Palestin itu dijangka berdepan tahap kebuluran paling kritikal yang dikategorikan sebagai IPC Fasa 5.

Krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza bertambah buruk selepas Israel enggan bekerjasama dengan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) yang selama ini bertanggungjawab menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin selama beberapa dekad.

Ratusan pusat pengedaran bantuan UNRWA telah ditutup dan digantikan dengan empat pusat baharu yang dikendalikan oleh Tabung Kemanusiaan Gaza yang disokong AS dan Israel. Tentera Israel dilaporkan kerap melepaskan tembakan ke arah rakyat Palestin yang beratur untuk mendapatkan bantuan, kata pihak berkuasa Gaza.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan