EKONOMI

Pengeluaran MSM Malaysia Naik 2.35 Peratus Pada Ogos, Eksport Minyak Sawit Turun 0.29 Peratus

10/09/2025 01:57 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) Malaysia meningkat sebanyak 2.35 peratus bulan ke bulan kepada 1.86 juta tan pada Ogos daripada 1.81 juta tan pada Julai, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Namun, eksport minyak sawit negara mencatatkan sedikit penurunan iaitu sebanyak 0.29 peratus kepada 1.32 juta tan pada bulan lepas daripada 1.33 juta tan pada bulan sebelumnya.

Kata MPOB dalam Laporan Prestasi Industri Minyak Sawit Malaysia Ogos 2025, pengeluaran isirung sawit meningkat sebanyak 2.66 peratus bulan ke bulan kepada 443,077 tan daripada 431,615 tan pada Julai.

Sementara itu, pengeluaran minyak isirung sawit mentah menurun sebanyak 4.39 peratus bulan ke bulan kepada 208,655 tan daripada 218,239 tan sebelumnya manakala dedak isirung sawit susut sebanyak 4.63 peratus bulan ke bulan kepada 227,473 tan daripada 238,511 tan.

Mengenai inventori, MPOB berkata stok MSM naik sebanyak 5.45 peratus kepada 1.08 juta tan pada Ogos daripada 1.02 juta tan pada bulan sebelumnya manakala stok minyak sawit terproses menokok sebanyak 3.00 peratus bulan ke bulan kepada 1.12 juta tan daripada 1.09 juta tan sebelumnya.

“Ini menyebabkan jumlah inventori minyak sawit meningkat sebanyak 4.18 peratus kepada 2.20 juta tan pada Ogos daripada 2.11 juta tan pada Julai,” katanya.

Sementara itu, eksport minyak isirung sawit melonjak sebanyak 22.91 peratus kepada 110,656 tan daripada 90,028 tan sebelumnya manakala eksport dedak isirung sawit merosot sebanyak 30.82 peratus bulan ke bulan kepada 175,874 tan daripada 254,239 tan.

Eksport oleokimia turun sebanyak 7.28 peratus bulan ke bulan kepada 230,988 tan daripada 249,128 tan manakala eksport biodiesel menguncup sebanyak 37.32 peratus kepada 30,833 tan bulan ke bulan daripada 49,195 tan.

“Import MSM pada Ogos sifar daripada 7,816 tan pada Julai manakala jumlah import minyak isirung sawit menurun sebanyak 42.56 peratus bulan ke bulan kepada 14,082 tan daripada 24,516 tan pada Jun,” tambah MPOB.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan