KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Malaysia dijangka memperoleh pelaburan melebihi RM169.2 bilion dalam kecerdasan buatan (AI) dan pusat data menjelang 2030, menurut penyelidikan baharu daripada rakan penyelesaian bakat global, Robert Walters.
Firma itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, dipacu oleh syarikat berskala besar utama dan syarikat teknologi global, pelaburan sebesar ini dijangka menjadikan Malaysia sebagai hab pusat data AI terkemuka di Asia Tenggara sekali gus mengembangkan peranan negara dalam perkhidmatan luar pesisir bernilai tinggi.
“Pelaburan ini akan memacu peningkatan permintaan dalam sektor perkhidmatan luar pesisir dengan pengambilan pekerja untuk operasi awan dan pusat data, kejuruteraan awan, sains data selain analitik serta keselamatan siber dijangka meningkat dengan ketara antara 2025 dan 2027,” katanya.
Sementara itu, Ketua Risikan Pasaran Robert Walters Phill Brown berkata kajian terkini pihaknya menekankan peranan Malaysia yang berkembang pesat sebagai lokasi perkhidmatan luar pesisir yang strategik.
“Gabungan pengambilan tenaga kerja teknologi bernilai tinggi, permintaan yang stabil untuk fungsi sokongan serta pelaburan pusat data AI yang dijangka sebanyak RM169.2 bilion membuka jalan bagi negara ini untuk menarik operasi perniagaan serantau dan global yang ketara,” katanya.
Robert Walters berkata trajektori pertumbuhan ini diperkukuh menerusi Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026 - 2030 berserta angka terkini yang menunjukkan pelaburan sektor AI sebanyak RM13.29 bilion yang diluluskan hanya pada separuh pertama 2025 dengan potensi mewujudkan kira-kira 6,920 pekerjaan baharu.
“Sebahagian besar aktiviti ini tertumpu di Taman Perindustrian Teknologi Tinggi Negeri Sembilan yang sedang muncul sebagai lokasi strategik untuk pembangunan AI di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penyumberan Luar Robert Walters David Barr berkata dapatan tersebut mencerminkan perubahan ketara dalam landskap luar pesisir global.
"Walaupun sebelum ini tertumpu kepada penjimatan kos dan jumlah, strategi hari ini semakin mengutamakan keupayaan, kualiti serta ketahanan dengan memanfaatkan tenaga kerja antarabangsa yang berkemahiran tinggi.
“Penguasaan bahasa Inggeris yang kukuh, kepakaran teknikal dan tumpuan yang semakin meningkat terhadap kemahiran sedia untuk masa depan, meletakkan Malaysia sebagai destinasi perkhidmatan luar yang menarik bagi syarikat yang ingin mengembangkan operasi dan memanfaatkan peluang yang dipacu AI di seluruh Asia Tenggara,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial