IPOH, 10 Sept (Bernama) -- Seorang bekas Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 16 pertuduhan pecah amanah RM30,250 berhubung lebihan bayaran imbuhan imam masjid antara 2019 hingga 2023.
Muhamad Azian Mat Isa, 38, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut pertuduhan, Muhamad Azian yang juga bekas Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah Taiping didakwa atas kapasiti itu yang diamanah dengan harta berjumlah antara RM850 hingga RM5,950 iaitu lebihan bayaran imbuhan imam telah melakukan pecah amanah melibatkan 10 masjid di Taiping.
Bapa empat anak itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Pejabat Agama Islam Daerah Taiping antara 4 Mac 2019 hingga 20 Julai 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun termasuk sebat dan denda.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Suzieyana Azura Yahaya menawarkan jaminan RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM dua bulan sekali.
Peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid memohon jaminan RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan alasan tertuduh yang bekerja sebagai penjaga kambing hanya memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan serta menanggung seorang isteri dan empat anak.
Mahkamah membenarkan jaminan RM16,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Taiping setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 13 Okt ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial