KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Isnin, sejajar dengan kenaikan pasaran serantau pada Jumaat lepas.
Pada 9.21 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.06 mata kepada 1,582.21 daripada 1,578.15 semasa ditutup pada Khamis lepas.
Indeks memulakan sesi dagangan dengan meningkat 3.07 mata kepada 1,581.22.
Pasaran secara menyeluruh positif, dengan 283 kaunter untung dan 151 kaunter rugi manakala 340 kaunter tidak berubah. Sejumlah 2,568 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.
Bursa tempatan ditutup pada Jumaat lepas sempena cuti Maulidur Rasul.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI mengakhiri minggu lepas dengan mencatat mendatar pada minggu dagangan yang singkat dengan sokongan belian yang kurang menggalakkan.
Beliau berkata indeks barometer dijangka mengimbangi semula dengan prestasi pasaran serantau yang kukuh pada Jumaat lepas dan berada dalam julat 1,580 hingga 1,595.
“Kami mendapati walaupun musim pelaporan pendapatan yang baru berakhir agak menggalakkan, kebanyakan firma penyelidikan memilih untuk kekal berhati-hati.
“Oleh itu, KLCI dijangka diniagakan antara 1,620 dan 1,690 menjelang akhir 2025,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat satu sen kepada RM10.00, Public Bank naik dua sen kepada RM4.29, Tenaga Nasional menambah 10 sen kepada RM13.16 manakala IHH Healthcare dan Press Metal, masing-masing mendatar pada RM6.91 dan RM5.58. CIMB merosot lima sen kepada RM7.25.
Dalam dagangan aktif, Jaks naik setengah sen kepada 10.5 sen, NexG meningkat satu sen kepada 49 sen manakala Velesto dan Wawasan Dengkil, masing-masing menambah setengah sen kepada 21 sen dan 26 sen.
Dalam pasaran secara menyeluruh, Indeks FBM Emas menambah 35.15 mata kepada 11,750.44, Indeks FBMT 100 naik 32.72 mata kepada 11,516.88 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 45.73 mata kepada 11,721.25.
Indeks FBM 70 naik 60.87 mata kepada 16,495.58 manakala Indeks FBM ACE meningkat 12.68 mata kepada 4,751.41.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.53 mata kepada 163.52, Indeks Perladangan meningkat 16.22 mata kepada 7,620.65 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 29.35 mata kepada 18,143.79.
Indeks Tenaga merosot 1.59 mata kepada 742.03.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial