DUNIA

Anwar Ucap Tahniah Kepada PM Thailand Baharu

07/09/2025 11:13 PM

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Thailand yang baharu Anutin Charnvirakul.

Anwar menerusi hantaran di Facebook memaklumkan ucapan itu disampaikannya kepada Anutin menerusi panggilan telefon pada lewat petang hari ini.

"Saya juga menzahirkan kegembiraan kerana beliau merupakan sahabat lama yang sentiasa bersama saya sewaktu susah dan senang.

"Saya turut menjemput beliau untuk mengadakan lawatan kerja ke Malaysia dalam masa terdekat bagi membincangkan isu-isu penting termasuk pengukuhan hubungan dua hala selain perkembangan di sempadan Thailand–Kemboja serta kerjasama ASEAN," katanya.

Menurut Anwar, Anutin memaklumkan bahawa upacara angkat sumpah jawatannya akan berlangsung dalam tempoh seminggu.

“… dan beliau menantikan peluang untuk berjumpa saya sejurus selepas itu,” kata Anwar.

Anutin, 58, yang merupakan ketua parti Bhumjaithai, secara rasmi memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Thailand ke-32 hari ini, selepas menerima perkenan diraja, sekali gus menandakan lembaran baharu dalam kepimpinan politik negara itu.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan