Oleh Christine Lim
NAGASAKI (Jepun), 7 Sept (Bernama) – Maruhiro Inc., syarikat perdagangan seramik yang berpangkalan di wilayah Nagasaki, Jepun, berminat untuk mengembangkan perniagaan ke Malaysia.
Pengurus jualan antarabangsanya, Sojiro Yamaguchi berkata Maruhiro sudahpun menjadi jenama terkenal kraf seramik tradisional dan juga kontemporari di Singapura, Taiwan, Hong Kong dan Korea Selatan.
"Kami juga mempunyai kehadiran pasaran yang kukuh di United Kingdom, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat," katanya kepada Bernama semasa lawatan baru-baru ini ke "Hiroppa", taman kesenian persendirian dengan kedai utama dan taman permainan, yang dibina oleh Maruhiro.
Lawatan itu dianjurkan oleh Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) Nagasaki, dan juga Jetro Kuala Lumpur.
Maruhiro, yang berpangkalan di Hasami, sebuah bandar kecil di Nagasaki, menghasilkan dan mengedarkan produk isi rumah seramik — termasuk pinggan mangkuk dan hiasan rumah — menerusi kedai dalam taliannya, kedai borong di seluruh Jepun, kedai utamanya di Hasami dan kedai di Fukuoka.
Hasami mempunyai kira-kira 14,800 penduduk, dengan kira-kira 600 hingga 700 orang bekerja dalam industri seramik.
“Kami terbuka kepada sebarang bentuk perniagaan dengan Malaysia, sama ada melalui platform dalam talian atau kedai borong.
"Hasami terus menghasilkan barangan yang mendapat permintaan di Jepun dan di luar negara. Walaupun kos bahan dan pengeluaran meningkat, permintaan masih kekal stabil," kata Yamaguchi.
Hasami terkenal dengan industri porselinnya, terutamanya teknik pengeluarannya yang unik dan cekap, dengan tukang yang dikhususkan dalam pelbagai bahagian proses pengeluaran, seperti pembuatan tanah liat, pengacuan, bisque dan tembikar.
Bagaimanapun, populasi penduduk yang semakin menua di bandar kecil itu telah memberi kesan kepada pengeluaran, kerana beberapa barangan terpaksa dihentikan kerana kekurangan bekalan.
“Namun begitu kini ada sebahagian anak muda telah mula kembali ke Hasami dan terlibat dalam industri pengeluaran seramik ini yang telah wujud selama lebih 400 tahun,” kata Yamaguchi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial