BUTTERWORTH, 5 Sept (Bernama) -- Generasi keempat pengasas Madrasah Al-Ahmadiah Al-Ijtimaiah Padang Lalang, Bukit Mertajam Hamzah Jaafar dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul peringkat negeri Pulau Pinang tahun ini.
Hamzah, 65, berkata beliau berbangga kerana dapat meneruskan legasi mentadbir sebuah sekolah agama dan menyifatkan penganugerahan itu sebagai pembakar semangat untuk memperkasakan lagi institusi berkenaan agar kekal relevan serta mampu mendepani cabaran semasa.
Beliau berkata pengiktirafan itu turut mencerminkan penghargaan terhadap peranan sekolah-sekolah agama dalam menyebarkan syiar Islam serta melahirkan generasi berilmu dan berakhlak mulia.
“Sekolah ini asalnya ditubuhkan oleh moyang saya sebagai sekolah pondok pada tahun 1826 dan pada tahun 2000 ia ditukarkan ke Sekolah Agama Rakyat (SAR) tetapi ia tetap mengekalkan pengajian pondok,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat negeri di Dewan al Ansar Masjid al Muhajirin, Seberang Jaya di sini, hari ini.
Beliau berkata sekolah tersebut kemudian diserapkan di bawah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan dinamakan Sekolah Menengah Agama Al-Ahmadiah Al-Ijtimaiah di bawah penyeliaan rasmi Bahagian Pendidikan Islam (BPI) dengan beliau sebagai pengetua pertama.
Bapa kepada enam cahaya mata itu bertekad untuk terus menjadikan institusi tersebut sebagai tempat menyebarkan ilmu agama kepada generasi muda supaya mereka dapat dibentuk menjadi umat Islam yang bukan sahaja berpendidikan tetapi juga berakhlak tinggi.
Terdahulu, beliau menerima trofi, sijil serta wang tunai RM7,000 yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib.
Selain Hamzah, tiga lagi individu turut menerima penganugerahan pada majlis tersebut mengikut kategori masing-masing iaitu kontraktor Rohaimie Ali (kategori Qudwatur Rasul Usahawan) dan Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Komputer, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Nasuha Lee Abdullah (Qudwatur Rasul Saudara Kita).
Anugerah Qudwatur Rasul Khas diberikan kepada Pengerusi Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Pulau Pinang Mahamad Aziz Abdullah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial