EKONOMI

Minyak Sawit: Malaysia Berada Di Landasan Diklasifikasikan Negara Risiko Rendah - Johari

05/09/2025 03:30 PM

KUALA LANGAT, 5 Sept (Bernama) -- Malaysia berada di landasan untuk diklasifikasikan sebagai negara berisiko rendah dalam pengeluaran minyak sawit, disokong terutamanya oleh pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata kerajaan kini sedang mengumpul fakta dan kemajuan terkini pengeluaran minyak sawit negara, bagi membolehkan Kesatuan Eropah (EU) mengiktiraf secara rasmi pencapaian tersebut di bawah agenda kemampanannya.

"Salah satu proses adalah penghantaran data yang tepat secara berterusan. Sebelum ini, sektor perladangan diselia oleh kementerian yang berbeza daripada kementerian yang bertanggungjawab menyediakan data perhutanan kepada Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO).

"Terdapat metodologi terperinci yang terlibat sebelum sesebuah negara diklasifikasikan sebagai risiko rendah, risiko standard atau risiko tinggi. Apa yang paling penting adalah kita bergerak di landasan yang betul untuk mencapai klasifikasi itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mengiringi Pesuruhjaya Eropah bagi Alam Sekitar, Ketahanan Air dan Ekonomi Sirkular Kompetitif, Jessika Rosswall, yang melawat Kampung Sungai Judah dan Pusat Kecemerlangan Minyak Sawit SD Guthrie di Pulau Carey, dekat sini, hari ini.

Johari berkata salah satu usaha penting yang mungkin mengubah klasifikasi komoditi negara ialah pensijilan MSPO, yang diwajibkan sejak 2020.

Antara lain, katanya, pensijilan itu memperkenalkan sistem kebolehkesanan nasional untuk memantau pergerakan minyak sawit dari ladang ke kilang dan kilang penapisan.

Menurutnya, dengan mengambil kira setiap produk yang dihasilkan di negara ini, Malaysia akan dapat menunjukkan amalan kemampanannya, keberkesanan sistem kebolehkesanan, dan tidak ada produk negara berasal daripada tanah penebangan hutan.

"Kita perlu konsisten, dan saya percaya kita hanya menunggu masa sahaja untuk mencapai klasifikasi risiko rendah," katanya.

Malaysia ketika ini diklasifikasikan sebagai ‘risiko standard’ di bawah Peraturan Pembasmian Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

Di bawah peraturan tersebut pengeksport yang mengeksport koko, kopi, minyak sawit, kacang soya, lembu, getah dan kayu ke EU dikehendaki untuk memastikan produk mereka bebas penebangan hutan dan diperoleh secara sah.

Semasa lawatan itu, Rosswall telah dibawa melawat ke Galeri Kelestarian Pusat Pengalaman Minyak Sawit dan diberi taklimat tentang sistem kebolehkesanan nasional, tadbir urus hutan Malaysia dan usaha berterusan untuk mengukuhkan ketelusan dalam rantaian bekalan minyak sawit.

Terdahulu di Kampung Sungai Judah, beliau diberi taklimat tentang pertanian regeneratif, amalan pertanian yang baik, kaedah penuaian mampan dan pemerkasaan orang asli melalui aktiviti ekonomi berkaitan minyak sawit.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan