EKONOMI

BNM Terus Kekalkan OPR, Isyarat Ekonomi Malaysia Kukuh - Pakar Ekonomi

04/09/2025 07:47 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) menunjukkan keyakinan bahawa ekonomi semasa sesuai untuk menyokong pertumbuhan tanpa menimbulkan risiko pemanasan melampau atau ketidakseimbangan kewangan.

BNM mengekalkan OPR pada kadar 2.75 peratus, selepas pemotongan awal sebanyak 25 mata asas pada Julai yang bertujuan mengekalkan landasan pertumbuhan stabil Malaysia di tengah-tengah prospek inflasi yang sederhana.

Doris Liew, ahli ekonomi dalam pembangunan Asia Tenggara berkata langkah itu mencerminkan komitmen teguh terhadap kestabilan monetari.

“OPR pada masa ini terus mencatatkan keseimbangan antara menyokong pertumbuhan domestik dan mengekalkan kestabilan dalam pinjaman, deposit dan keseluruhan kos pinjaman,” katanya kepada Bernama.

Pada 9 Julai, bank pusat itu turut mengumumkan kadar siling dan lantai koridor OPR dikurangkan kepada tiga peratus dan 2.5 peratus.

 BNM kali terakhir mengekalkan OPR pada kadar 2.75 peratus pada Mac 2023 sebelum menaikkannya kepada tiga peratus pada Mei 2023.

“Berikutan keputusan BNM untuk memotong OPR pada Julai, terutamanya untuk meredakan kesan ketidaktentuan perdagangan global dan potensi hambatan daripada pertikaian tarif yang menjejaskan sektor berorientasikan eksport Malaysia, pendirian dasar kini mencerminkan penentukuran yang teliti.

“BNM nampaknya berhasrat untuk mengekalkan kadar faedah dan jangkaan inflasi sambil memastikan sokongan yang mencukupi bagi momentum ekonomi menjelang separuh kedua tahun ini,” katanya.

Melihat ke hadapan, Liew berkata selain berlakunya kemerosotan ketara dalam permintaan luar atau kelembapan domestik yang lebih teruk daripada jangkaan, bank pusat itu berkemungkinan mengekalkan pendirian semasanya sepanjang baki tahun ini.

Sementara itu, Pengarah, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPP Wealth Managers Mohd Sedek Jantan berkata OPR mencerminkan pendirian yang menyokong di tengah-tengah ketahanan ekonomi domestik yang dijangka berkembang antara empat hingga 4.8 peratus pada 2025, didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh dan inflasi yang sederhana.

Beliau berkata petunjuk berasaskan jangkaan menunjukkan perbelanjaan isi rumah dan pelaburan yang mampan akan terus memacu pengembangan tanpa menyebabkan pemanasan melampau, di samping sokongan berterusan kepada eksport daripada sektor-sektor teknologi dan pelancongan.

“Walaupun perkembangan dasar perdagangan masih boleh mempengaruhi prospek pertumbuhan global, ketidaktentuan telah reda ke tahap tertentu dan kos global yang terkawal bersama ketiadaan permintaan domestik berlebihan dijangka dapat mengehadkan tekanan harga.

 “Dengan mengekalkannya, BNM memelihara ruang dasar untuk mengimbangi potensi turun naik dalam permintaan global sambil memastikan OPR kekal kondusif kepada pertumbuhan dalam keadaan kestabilan harga, dengan bank terus memantau kesan global ke atas ekonomi Malaysia,” tambahnya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan