AM

200 Sekolah Berasrama Di Bawah KPM Akan Dilengkapi CCTV

04/09/2025 03:25 PM

KOTA BHARU, 4 Sept (Bernama) -- Sebanyak 200 sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di seluruh negara akan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dalam masa terdekat dengan peruntukan RM3 juta.

Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata langkah itu bagi meningkatkan tahap keselamatan pelajar di sekolah khususnya di asrama.

“Pemasangan CCTV akan dibuat secara berperingkat berdasarkan keperluan serta faktor jumlah pelajar di sesebuah sekolah. 

“Asrama yang besar dan mempunyai pelajar yang ramai akan menjadi kriteria untuk didahulukan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Kali Ke-63 di sini hari ini.

Mohd Azam berkata pihak pengurusan akan mendapatkan nasihat pakar bagi lokasi pemasangan CCTV di kawasan asrama.

“Kita tidak boleh pasang sewenang-wenang seperti di tandas dan sebagainya. Kita tidak mahu privasi mereka terganggu. Kita ada akta-akta perlu dipatuhi, sebab itu perlu berhati-hati dalam perkara ini,” katanya.

Mohd Azam berkata selain pemasangan CCTV, pihaknya juga dalam perancangan menambah warden asrama hasil cadangan daripada Majlis Pengetua yang akan dibawa ke peringkat kementerian.

“Demi keselamatan pelajar, kerajaan dan KPM akan berusaha sebaik mungkin. Setakat ini, tiada perancangan mengambil pesara tentera atau polis (sebagai warden), tetapi kita melihat asrama di sekolah adalah institusi pendidikan, jadi warden dalam kalangan guru amat penting.

“Apabila warden dalam kalangan guru, mereka boleh merancang aktiviti pendidikan untuk pelajar. Ada juga cadangan guru warden ini mengajar empat hingga lima waktu dalam seminggu dan selebihnya menjaga pelajar di asrama,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan