IPOH, 3 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak mengambil tanggungjawab sepenuhnya susulan insiden seorang wanita cuba mendekati Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sewaktu sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak, Ahad lepas.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan bahawa pihaknya tidak akan menuding jari kepada mana-mana pihak memandangkan kejadian itu berlaku di luar jangkaan dan dalam tempoh yang sangat singkat.
"Ia 'wake up call' kepada sesiapa sahaja yang perlu peka mengenai isu keselamatan tidak semestinya dihadiri orang kenamaan seperti menteri besar atau exco (kerajaan negeri), penyanyi atau tokoh masyarakat yang mengundang kehadiran orang yang ramai," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Empower Tahfiz Inisiatif Khas Pemerkasaan Anak-anak Tahfiz Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Saarani menyatakan rasa kagum terhadap sikap tenang yang ditunjukkan Sultan Nazrin kerana terus berada di pentas sehingga selesai.
"Tuanku masih berdiri, menerima tabik hormat, berjalan seperti yang dirancang, malah selepas itu beramah mesra dengan rakyat," katanya.
Dalam perkembangan lain, Saarani memaklumkan satu laporan polis telah dibuat mengenai kewujudan akaun media sosial palsu yang menggunakan wajah dan suaranya menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata pihaknya turut menyerahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan selanjutnya.
Saarani menasihati orang ramai supaya tidak terperdaya dengan kewujudan akaun TikTok palsu berkenaan yang menggunakan gambar dan suara beliau melalui AI dengan bagi menawarkan wang tunai dan meminta mangsa menghubungi nombor telefon tertentu untuk membuat tuntutan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial