KUANTAN, 3 Sept (Bernama) -- Kematian ikan di Taman Gelora di sini dipercayai berpunca daripada fenomena air pasang besar yang menyebabkan kemasukan air laut ke dalam tasik melalui empangan kecil berhampiran kawasan rekreasi berkenaan.
Datuk Bandar Kuantan Datuk Zaliza Zulkipli berkata siasatan awal itu turut mendapati kemasukan air laut telah meningkatkan tahap kemasinan air, sekali gus mengubah keseimbangan ekosistem semula jadi tasik yang bersifat payau.
“Fenomena ini merupakan kejadian alam semula jadi yang tidak dapat dijangka. Perubahan mendadak ini dipercayai menjadi faktor utama kepada kematian beberapa spesies ikan liar yang hidup dan membiak secara semula jadi di tasik berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara spesies yang terkesan termasuk ikan susu, tilapia, kapas dan siakap merah.
Zaliza berkata sebagai tindakan segera, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) telah melaksanakan kerja-kerja pengutipan dan pembersihan ikan yang mati di sekitar tasik bagi memastikan kawasan rekreasi kekal bersih dan selamat.
Beliau berkata dalam masa yang sama, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menjalankan ujian kualiti air dan Jabatan Perikanan turut mengambil sampel ikan untuk analisis forensik bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian secara saintifik.
“MBK akan terus memantau situasi ini dengan kerjasama rapat agensi berkaitan dan komited dalam memastikan keseimbangan ekosistem serta kebersihan Tasik Taman Gelora sentiasa terpelihara untuk keselesaan dan keselamatan pengunjung,” katanya.
Media semalam melaporkan pengunjung Taman Gelora di sini berdepan bau yang tidak menyenangkan, berikutan kematian ribuan ekor ikan di dua tasik buatan itu sejak Isnin.
Sementara itu, Jabatan Perikanan Pahang dalam kenyataan memaklumkan siasatan awal tahap kemasinan (salinity) dan jumlah pepejal terlarut (TDS) di tasik itu menunjukkan ciri-ciri air payau akibat campuran air laut manakala bacaan pH neutral, sekali gus menolak kemungkinan pencemaran daripada racun atau bahan kimia.
Pengarah Perikanan Pahang Roslan Abu Hasan berkata siasatan pihaknya mendapati kejadian berkenaan adalah fenomena semula jadi akibat pasang surut air laut dan hujan yang menyebabkan berlakunya perubahan kemasinan secara mendadak.
Jabatan Perikanan Pahang bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak berkepentingan dan amat menghargai maklumat daripada orang awam dalam memastikan kelestarian ekosistem tasik terpelihara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial