BALING, 3 Sept (Bernama) -- Penduduk daerah ini yang sinonim dengan aktiviti pertanian berpeluang mendapatkan benih pokok secara percuma pada Program MADANI Rakyat (PMR) Kedah di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling bermula esok hingga Sabtu ini.
Penyelaras PMR Kedah Zammidi Mohd Asri berkata pelbagai jenis benih pokok seperti belimbing, mesta, kelapa, manggis, durian serta sayur-sayuran akan diagihkan kepada pengunjung.
Beliau berkata dengan tema “Rakyat Prihatin, Negara Aman, Masa Depan Terjamin”, PMR Kedah menampilkan pengisian lebih bersasar dengan memfokuskan kepada keperluan rakyat setempat.
“Penganjuran PMR kali ini agak jauh dari bandar utama (dan) kita bawakan pengisian program bersesuaian dengan pengunjung antaranya berkaitan perladangan serta komoditi yang menjadi nadi kepada penduduk Baling,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Zammidi berkata antara tarikan lain ialah reruai Jabatan Imigresen (JIM) yang menawarkan perkhidmatan permohonan pas sempadan dan pembaharuan pasport secara dalam talian, selain reruai perkhidmatan Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Turut diadakan ialah Jualan Rahmah MADANI, Jualan Agro MADANI, diskaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemeriksaan kesihatan, tawaran peluang pekerjaan dan program pertukaran topi keledar oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Selain itu kita juga mengadakan program pertukaran minyak enjin motosikal dan perkhidmatan gunting rambut percuma oleh Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
“Turut berlangsung malam selawat bersempena sambutan Maulidur Rasul pada malam esok dan persembahan wayang pacak filem Sheriff: Narko Integriti pada malam hari kedua program,” katanya.
Beliau berkata sekiranya cuaca baik, orang ramai berpeluang menyaksikan persembahan aksi payung terjun.
Penganjuran PMR kali ini diterajui Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
Kemuncak program adalah kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan merasmikan program pada Sabtu, yang juga akan menampilkan persembahan demonstrasi istimewa pasukan PDRM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial