SEGAMAT, 3 Sept (Bernama) -- Program Pengurusan Risiko Bencana Gempa Bumi yang disertai lebih 300 pemimpin komuniti dan wakil penduduk di Segamat di Dewan Serbaguna di Jalan Genuang di sini, diadakan sebagai langkah memperkukuh kesiapsiagaan masyarakat selepas beberapa kejadian gegaran lemah direkodkan di daerah ini baru-baru ini.
Program anjuran Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai risiko gempa bumi serta tindakan pantas yang perlu dilakukan bagi mengurangkan impak bencana.
Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional MetMalaysia Marqun Fadzli Mohd Fahmi berkata meskipun Segamat tidak berada di zon gempa bumi aktif, program sebegini amat penting kerana dapat menyediakan komuniti dengan ilmu dan panduan praktikal dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kesedaran awal dan latihan kesiapsiagaan merupakan kunci untuk mengurangkan risiko serta memastikan keselamatan komuniti,” katanya ketika sesi taklimat di sini hari ini, yang turut disertai Ketua Pengarah JMG Datuk Zamri Ramli dan Ketua Pengarah NADMA Datuk Abdul Halim Hamzah.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) merangkap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Johor Datuk Ismail Abu serta Pegawai Daerah Segamat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Segamat Ezzuddin Sanusi.
Sementara itu, penduduk menyifatkan program seumpama itu wajar dan tepat dilakukan susulan beberapa gegaran lemah yang melanda daerah ini bulan lepas.
Mohammad Khairul Najid Mustafha, 34, dari Taman Yayasan di sini berkata beliau kini lebih memahami risiko gempa bumi serta langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku bencana itu.
“Program penerangan ini amat penting kerana membuka mata saya terhadap bahaya yang sebelum ini tidak pernah difikirkan walaupun gegaran yang berlaku di Segamat dikategorikan lemah,” katanya.
Bagi Aina Nasuha Khairuzamman, 22, dari Bandar IOI Segamat penerangan yang diterima daripada JMG dan MetMalaysia membuatkan dirinya lebih bersedia.
“Saya kini lebih yakin untuk bertindak sekiranya berlaku gegaran. Walaupun sudah beberapa hari ini tiada gegaran, persiapan awal tetap perlu menjadi perhatian,” katanya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial