JENAYAH & MAHKAMAH

PDRM Kesan Akaun Palsu Facebook Guna Nama NSRC

03/09/2025 02:48 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan dua akaun Facebook palsu yang menggunakan nama serta imej Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) bagi tujuan memperdaya orang ramai.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata NSRC tidak mempunyai sebarang akaun media sosial, termasuk dua akaun Facebook yang dikesan pada Sabtu lepas.

“NSRC adalah pusat panggilan yang berperanan menyelaras tindak balas pantas merangkumi pengesanan dana yang dicuri dengan lebih cepat serta pengambilan tindakan penguatkuasaan terhadap penjenayah.

“Namun begitu, kewujudan NSRC turut dimanipulasi apabila sindiket menyamar sebagai pihak berkuasa bagi memperdaya mangsa, termasuk dengan memancing maklumat peribadi dan mendapatkan wang secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menegaskan NSRC hanya beroperasi sebagai pusat panggilan berkomunikasi sehala, iaitu menerima panggilan daripada orang awam melalui talian 997, dan tidak akan menghubungi mana-mana individu melalui telefon atau aplikasi pesanan seperti WhatsApp.

“Sebarang panggilan atau mesej yang mendakwa daripada NSRC adalah satu penipuan,” katanya.

Dalam pada itu, Rusdi meminta orang ramai yang menjadi mangsa penipuan dalam talian segera menghubungi NSRC di talian 997 dalam tempoh kurang 24 jam bagi meningkatkan peluang menyekat wang yang telah dipindahkan kepada penjenayah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan