AM

China Sokong Penyegeraan Keanggotaan Penuh Malaysia Dalam BRICS - PM Anwar

02/09/2025 11:01 PM

Oleh Voon Miaw Ping

BEIJING, 2 Sept (Bernama) -- Presiden China Xi Jinping menyatakan sokongan penuh untuk menyegerakan keanggotaan penuh Malaysia dalam perkumpulan BRICS. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkembangan ini dizahirkan Xi semasa pertemuan mereka di Great Hall of the People di sini pada Selasa. 

“Presiden Xi menyatakan sokongan penuh beliau untuk menyegerakan penyertaan Malaysia sebagai anggota penuh BRICS.

“Ini satu penghormatan besar atas dukungan terhadap negara kita untuk terus memainkan peranan penting di pentas dunia,” kata Anwar kepada media Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja empat hari beliau ke China.

BRICS yang ditubuhkan pada 2009 kini dianggotai 11 negara termasuk Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan dan Mesir. Malaysia menjadi negara rakan blok itu pada awal 2025.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan kunjungan hormat terhadap Xi dan kedua-dua pemimpin itu membincangkan usaha untuk memperkukuh kerjasama dua hala.

Anwar berkata pertemuan berkenaan mempererat ikatan yang terjalin sejak lawatan negara Xi ke Malaysia pada April lepas, dengan sebanyak 31 memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian telah dimeterai.

“Saya nyatakan bahawa hubungan ini perlu diterjemah dengan pelaksanaan segera terhadap perkara yang telah dipersetujui. 

“Hanya dengan tindakan pantas, hubungan istimewa ini dapat memberi impak yang lebih bermakna buat rakyat kedua-dua negara," kata Anwar.

Perdana Menteri berkata beliau amat menghargai keikhlasan persahabatan yang dizahirkan Xi serta penghormatan yang diberikan kepada Malaysia.

“Alhamdulillah, saya dan Presiden Xi senada untuk terus memperkukuh persahabatan ini berteraskan kepercayaan, hormat dan keikhlasan.

“Meskipun kita (Malaysia) sebuah negara kecil, keyakinan, saling percaya dan tekad bersama berupaya menjadi kekuatan besar untuk membentuk masa depan yang lebih aman, adil dan makmur,” kata Perdana Menteri.

Anwar turut menyatakan sokongan terhadap usul dan idea yang digagaskan oleh Xi, khususnya Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang memperkukuh keterhubungan dunia serta Inisiatif Tadbir Urus Global (GGI) yang dicetuskan pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) kali ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Xi atas kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak SCO yang berlangsung dengan penuh bersejarah.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut dengan nilai perdagangan dua hala tahun lepas mencecah AS$106 bilion, mencerminkan keeratan hubungan ini.

“Saya nyatakan kepada Presiden Xi akan komitmen Malaysia untuk memperkukuh eksport bernilai tinggi seperti E&E (elektrik dan elektronik), aeroangkasa, perubatan, farmaseutikal serta minyak dan gas,” kata Anwar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan