KUCHING, 2 Sept (Bernama) -- Seorang pencuci kereta dihukum penjara 12 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah membakar bungkusan tisu dalam dua kejadian berasingan di dua pasar raya di sini, bulan lepas.
Hakim Musli Abdul Hamid menjatuhi Rizam Zawawi, 33, hukuman penjara lima tahun dan tujuh tahun, masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua, serta memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh ditangkap pada 25 Ogos lepas.
Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan khianat menggunakan api dengan membakar tisu sehingga menyebabkan kerugian RM3,000 di sebuah pasar raya di Jalan Liu Shan Bang, Kota Sentosa di sini pada pukul 3 petang, 17 Ogos lepas.
Dia juga didakwa melakukan perbuatan sama di sebuah pasar raya di Batu Kawa di sini pada 8 malam, 21 Ogos lepas, menyebabkan kerugian RM1,072.60.
Pendakwaan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan bagi setiap pertuduhan yang boleh dipenjara hingga 14 tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ruvinasini Pandian dan Umi Syukriah Harun, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Menurut fakta kes, modus operandi tertuduh adalah dengan membakar tisu dan lampin pakai buang di premis berkenaan bagi mengalih perhatian pekerja dalam cubaan untuk mencuri barangan lain.
Di sebuah premis, dia berjaya melarikan sekotak minuman berkarbonat dan perbuatan itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang membawa kepada penahanannya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial