KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Akauntan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Gaza, Nour Al-Din Tayser Mustafa Dababesh terbunuh dalam serangan kejam rejim Zionis pada 2.30 petang semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE Kamarul Zaman Shaharul Anwar dalam kenyataan hari ini berkata serangan itu turut mengorbankan isteri, nenek, kakak dan dua anak saudaranya manakala empat anaknya cedera.
“Pengurus MyCARE Gaza Dr Ziad Shehada memaklumkan perkara itu kepada ibu pejabat MyCARE melalui Telegram. Nour telah berkhidmat bersama MyCARE Gaza sebagai akauntan sejak awal penubuhan pada 2014 dan bertanggungjawab menguruskan kewangan MyCARE di Gaza.
“MyCARE menyifatkan syahidnya beliau adalah satu kehilangan besar dan amat tragis kerana beliau telah menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah. Dr Ziad melaporkan saban hari kawasan kejiranannya dibedil bom dan situasi sukar ini turut dirasai seluruh warga MyCARE,” katanya.
Kamarul Zaman berkata pada Jun tahun lepas, juruvideo MyCARE Anas Ashour turut terkorban.
Beliau turut menggesa pihak antarabangsa untuk terus memberikan tekanan kepada Israel agar menghentikan pembunuhan ke atas rakyat Palestin, menghormati undang-undang antarabangsa, mengembalikan hak rakyat negara berkenaan dan membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Terus titipkan doa buat saudara kita di Palestin. Semoga Allah SWT sentiasa melindungi dan mengurniakan kekuatan buat mereka dalam menghadapi ujian ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial