DUNIA

Tiada Rakyat Malaysia Di Pakistan Terjejas Susulan Gempa Bumi Bermagnitud 6.0 Di Afghanistan

01/09/2025 09:06 PM

PUTRAJAYA, 1 Sept (Bernama) -- Tiada rakyat Malaysia di Pakistan dilaporkan terjejas susulan gempa bumi bermagnitud 6.0 yang melanda di timur Afghanistan lewat Ahad dan mengorbankan sekurang-kurangnya 800 orang serta menyebabkan kerosakan besar.

Dalam kenyataan media pada Isnin, Kementerian Luar memantau rapat kesan gempa bumi kuat dan beberapa susulan gempa bumi yang menggegarkan timur Afghanistan pada 1 Sept 2025, berhampiran sempadan dengan Pakistan. 

Gempa bumi itu turut dirasai secara meluas termasuk di ibu negara Pakistan, Islamabad. Lebih 1.2 juta orang mengalami gegaran kuat, manakala laporan menunjukkan kerosakan besar di kawasan pergunungan terpencil.

Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad memaklumkan pihaknya kekal berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan di Pakistan dan sedang memantau keadaan.

“Rakyat Malaysia yang menetap atau berada di kawasan terjejas di Pakistan dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mematuhi panduan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan, dan mendapatkan maklumat melalui saluran rasmi.

“Mereka yang belum mendaftar kehadiran sangat digalakkan berbuat demikian melalui E-Konsular bagi memastikan sokongan dan komunikasi dapat diberikan dengan segera,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu berkata ia akan terus memantau perkembangan serta mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa.

Bantuan konsul boleh diperoleh di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad, Plot No. 144–150, Street No. 17, Sector G-5, Diplomatic Enclave.

Talian penting konsular ialah +92 51 207 2900 sambungan 124, 125 atau 119, atau +92 51 283 3200, manakala e-mel boleh dihantar ke mwislamabad@kln.gov.my.

Anadolu Ajansi melaporkan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) merekodkan gempa itu pada 11.47 malam waktu tempatan (1917 GMT), terletak 27 kilometer timur-timur laut Jalalabad pada kedalaman 8 km.

Pihak berkuasa memaklumkan angka korban dan cedera masih belum muktamad kerana mereka masih lagi berhubung dengan penduduk di banyak kawasan terpencil, manakala pasukan bantuan sedang dalam perjalanan untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan