Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen
SEGAMAT, 1 Sept (Bernama) -- Lebih 70 tan kerepek bawang terjual dengan pendapatan kasar mencecah hampir sejuta pada Aidilfitri lepas, menjadi bukti kejayaan usahawan wanita ini yang membangunkan perniagaan bermula hanya dari rumah di Felda Sri Ledang, di sini.
Salmi Selamat, 55, mengusahakan perniagaan dengan modal sekitar RM5,000 kira-kira lapan tahun lepas dan keuntungan yang diperoleh sedikit demi sedikit digunakan bagi menambah baik operasi hingga berjaya membangunkan kilang pemprosesan bagi pengeluaran “Kerepek Bawang Mak Et”.
Usaha tidak mengkhianati hasil apabila beliau kini mampu mendirikan sebuah lagi kilang bagi penyimpanan stok dan ruang pameran yang sekali gus menjadi kebanggaan komuniti setempat.
"Kilang pemprosesan pertama dibina di belakang rumah sedikit demi sedikit mengikut kemampuan bermula 2018, sementara kilang baharu pula telah siap Jun lepas dan dijangka beroperasi tahun depan.
“Hampir setiap sen keuntungan saya akan labur balik untuk perniagaan. Saya percaya kalau kita sabar, kejayaan hasil usaha sendiri lebih manis,” katanya sambil tersenyum mengenang perjalanan panjangnya itu ketika ditemui Bernama di sini baru-baru ini.
Pemenang Anugerah Usahawan Felda (AUF) 2024 bagi Kategori Perniagaan itu, berkata kilang tersebut bukan sekadar mengangkat namanya tetapi lebih penting turut memberi peluang pekerjaan kepada penduduk termasuk belia, suri rumah dan ibu tunggal yang menjadikan perusahaan tersebut sebagai punca rezeki.
Beliau berkata produknya yang berperisa bawang merah dan putih, tomato serta cili menembusi pasaran di seluruh Malaysia dengan permintaan pada bulan biasa mencecah enam hingga tujuh tan.
"Platform media sosial seperti TikTok turut menyumbang kepada peningkatan permintaan dan membuatkan produk kami dikenali lebih-lebih lagi apabila kami menang AUF, memang tidak menang tangan," katanya.
Ibu kepada empat cahaya mata itu yang lebih gemar dipanggil “Mak Et” berkata perusahaannya yang memiliki sijil halal diurus secara profesional dengan pentadbiran lengkap termasuk mempunyai pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan produk yang dihasilkan memenuhi cita rasa pelanggan serta kekal kompetitif di pasaran.
Beliau berkata perniagaan yang menggunakan kaedah pembuatan secara tradisional dan moden bagi mengekalkan kualiti pengeluaran itu, memfokuskan pasaran secara borong bagi memenuhi permintaan ejen serta memberi peluang kepada mereka yang ingin menggunakan jenama sendiri.
Mak Et berkata kejayaan perniagaanya bukan usaha beliau seorang sebaliknya suami dan anak-anak menjadi tulang belakang malah beberapa agensi turut memberikan bantuan peralatan serta bimbingan termasuk Jabatan Pertanian, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Tidak mahu berpuas hati dengan kejayaan sedia ada, Mak Et memasang impian untuk menembusi pasaran Indonesia dan Singapura serta berhasrat membuka kilang di Sabah bagi memenuhi permintaan dari luar semenanjung memandangkan penghantaran melalui kurier berisiko menjejaskan kualiti kerepek.
Beliau pada masa sama ingin melihat kerepek bawangnya itu menjadi snek atau 'jajan' pilihan setanding makanan ringan lain di pasaran pada masa hadapan.
Bagaimanapun, bagi wanita ini setiap kerepek yang digoreng adalah lambang doa dan pengorbanan kerana kejayaan sebenar bukan hanya pada melihat jenama “Kerepek Bawang Mak Et” dikenali tetapi apabila anak-anak berjaya menjejakkan kaki ke menara gading dan penduduk kampung mendapat manfaat daripada usaha itu.
“Di Felda ini kebiasaannya dimomokkan dengan masalah gejala sosial, jadi saya cakap dengan suami, kita duit tidak banyak pun tidak mengapa yang penting kita usaha cari rezeki untuk besarkan anak depan mata.
“Inilah yang menjadi titik permulaan saya mencari duit dari rumah dengan menjalankan pelbagai perniagaan kecil-kecilan hingga berjaya dalam perusahaan kerepek bawang ini. Alhamdulillah sekarang anak semua berjaya,” katanya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial