SARIKEI, 31 Ogos (Bernama) -- Tidak cukup dengan KETEQ AI, Sarawak bakal melancarkan satu lagi peranti berasaskan kecerdasan buatan (AI) hujung September ini sebagai langkah merealisasikan visinya menjadi pencipta teknologi yang memberi nilai tambah kepada sumber negeri itu.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata cip baharu berkenaan mempunyai kapasiti lebih tinggi berbanding peranti terdahulu.
“Peranti ini akan menambah nilai kepada apa yang disebut sebagai AI power chip. Ia generasi baharu yang dicipta anak Sarawak melalui Sarawak Microelectronic Design (SMD) dengan kerjasama CSA Catapult, United Kingdom,” katanya.
Beliau ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 Peringkat Negeri Sarawak di pekarangan Dewan Suarah Sarikei, di sini, hari ini.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafa dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Pada April lepas, Abang Johari melancarkan KETEQ AI di Cardiff, United Kingdom, yang kini menunggu pendaftaran harta intelek (IP) sebelum dikomersialkan melalui kolaborasi dengan rakan industri.
Selain itu, Sarawak turut menubuhkan Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC) sebagai hab rujukan dan inovasi AI yang berperanan melatih tenaga kerja berkemahiran tinggi, memupuk penyelidikan dan pembangunan, serta menyediakan platform kepada syarikat pemula dan usahawan tempatan untuk menembusi pasaran global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial