AM

Melaka Jadi Perintis Pasarkan Produk Ahli LPP Di Stesen Petronas

31/08/2025 02:37 PM

MELAKA, 31 Ogos (Bernama) -- Melaka muncul sebagai negeri perintis dalam usaha memasarkan produk segar keluaran ahli Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) secara terus kepada pengguna melalui stesen minyak Petronas terpilih.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunannya Mohd Fauzi Badron berkata inisiatif hasil kerjasama dengan rakan niaga Petronas itu bermula di lapan stesen minyak di sekitar Melaka sejak 15 Julai lepas dan bakal diperluas hingga 32 stesen yang terdapat di seluruh negeri dalam tempoh dua tahun. 

“Melaka dipilih sebagai projek perintis kerana negeri ini mempunyai kesepakatan antara Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan sokongan rakan niaga Petronas pada peringkat negeri.

"Setakat ini, hasil kajian awal dan penerimaan petani serta pengguna menunjukkan impak positif. Insya-Allah, selagi Petronas ada, program ini akan terus berdaya maju, malah jika model ini berjaya ia akan dikembangkan ke negeri-negeri lain bermula dengan wilayah selatan," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Program Peluncuran Pemasaran Produk Peladang Bersama Rakan Niaga Petronas di Semabok di sini. 

Beliau berkata melalui program berkenaan produk segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan, daging ayam dan kambing yang diusahakan ahli Peladang akan dijual pada harga berpatutan kerana ia dipasarkan tanpa melalui orang tengah.

"Selain memberi peluang pasaran baharu, inisiatif itu diharap akan membantu meningkatkan keuntungan PPK sekali gus membolehkan lebihan manfaat dipulangkan semula kepada ahli.

“Walaupun keuntungan tidak besar, apa yang lebih penting usaha ini akan memberi nilai tambah kepada petani dalam aspek memasarkan hasil dan dalam masa yang sama memudahkan pengguna. 

"Konsepnya mudah, iaitu sambil isi minyak sambil membeli barangan segar terus dari ladang, malah bagi memastikan bekalan sentiasa segar, produk yang tidak habis dijual dalam tempoh tujuh hari akan diganti dengan hasil baharu," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan