AM

RUU Perolehan Kerajaan Pastikan Urus Tadbir Perbelanjaan Negara Lebih Telus - Kamil

28/08/2025 09:06 PM

IPOH, 28 Ogos (Bernama) -- Rang Undang Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini, merupakan usaha kerajaan memastikan perbelanjaan negara diurus dengan lebih baik, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim.

Beliau berkata dengan adanya RUU itu, hutang negara dapat dihadkan kepada 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), supaya pemerintah hari ini dan seterusnya dapat mematuhi undang-undang berkenaan bagi mengelak ketirisan dan rasuah.

“Ini (RUU) pun satu lagi langkah reformasi untuk kita pastikan sebarang urusan yang melibatkan perolehan kerajaan itu, dilaksanakan mengikut undang-undang secara lebih ketat bagi mengelakkan ketirisan, kebocoran dan juga masalah rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bakti Muda Jiwa Merdeka di  Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah (SAS), di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Ismail Yusop dan Timbalan Pengarah Pengurusan ILKKM SAS Dr S Dhanabalan Sandra.

Muhammad Kamil berkata RUU berkenaan juga bertujuan untuk memastikan proses perolehan dilaksanakan melalui pelbagai proses yang lebih telus dan menyeluruh.

Beliau berkata di bawah RUU berkenaan, kerajaan turut memperkenalkan Tribunal Rayuan Perolehan Kerajaan bagi menerima dan membicarakan aduan yang diterima daripada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati berkenaan sesuatu proses perolehan kerajaan.  

“Cuma orang yang takut ataupun penyamun sahaja tak suka akta ni sebenarnya, kaki songlap sahaja tak suka, kerana dia dah tak boleh nak buat perangai...Jadi hari ini kerajaan dilihat lebih serius menangani masalah pengurusan, tentang masalah tatakelola, masalah ketirisan, kebocoran, itu dianggap sebagai yang tidak menguntungkan mereka,” katanya.

Hari ini, Dewan Rakyat telah meluluskan RUU Perolehan Kerajaan 2025 bertujuan memperuntukkan kewajipan, tanggungjawab, tadbir urus dan ketelusan dalam perolehan kerajaan.

RUU itu diluluskan menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan 125 Ahli Parlimen bersetuju, 63 tidak bersetuju, seorang tidak mengundi dan 32 tidak hadir.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan