Oleh Norhayati Mohd Akhir
PUTRAJAYA, 28 Ogos (Bernama) -- Walaupun hujan lebat sejak pagi tadi memaksa raptai sambutan Hari Kebangsaan 2025 ditangguh beberapa kali, namun semangat peserta sama sekali tidak luntur malah semakin membara apabila mereka memberikan persembahan bertenaga sehingga raptai selesai menjelang tengah hari.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris berkata walaupun jadual raptai hari ini terganggu, peserta kekal komited menampilkan aksi bertenaga yang melambangkan kecintaan kepada tanah air.
“Kalau semalam raptai selesai kira-kira 9.48 pagi, hari ini kita hanya dapat bermula 11 pagi selepas hujan reda dan habis pada 1.03 tengah hari.
“Namun saya berbangga kerana semangat mereka (peserta) tidak luntur walau diuji dengan faktor cuaca,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.
Mohd Amran yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengisian Program Sambutan Hari Kebangsaan 2025 berkata tahap persembahan seni budaya telah mencapai hampir 80 peratus, sekali gus mencerminkan usaha gigih peserta dalam menzahirkan semangat patriotisme menerusi gerak tari, muzik dan nyanyian.
“Kalau persembahan seni budaya sudah hampir sempurna, aspek perbarisan pula masih memerlukan penambahbaikan. Perbarisan memerlukan koordinasi lebih terperinci tetapi dengan kerjasama ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan kontinjen lain, kita yakin ia akan lebih tersusun pada raptai penuh esok,” katanya.
Mohd Amran menegaskan kekuatan sambutan Hari Kebangsaan tidak hanya bergantung pada susunan acara semata-mata, sebaliknya terletak pada roh dan jiwa yang dizahirkan peserta.
“Faktor ‘wow’ bukan sekadar pengisian program, tetapi semangat yang ditonjolkan peserta. Saya lihat wajah peserta penuh tenaga dan keazaman, seolah-olah ini adalah medan mereka menyumbang kepada negara,” katanya.
Beliau turut menzahirkan rasa terharu apabila menyaksikan kehadiran pengunjung yang sanggup berpayung, malah ada yang basah kuyup hanya untuk menyaksikan raptai meskipun hujan turun tanpa henti pagi tadi.
“Bayangkan, rakyat rela dibasahi hujan demi menyaksikan raptai. Inilah bukti sambutan Hari Kebangsaan sentiasa dekat di hati mereka,” katanya.
Mengulas mengenai raptai penuh esok, beliau optimis suasana akan lebih meriah apabila peserta mengenakan kostum sebenar yang akan meningkatkan aura serta momentum persembahan.
“Apabila mereka pakai kostum esok, semangat mereka akan berganda. Saya yakin aura yang terhasil pasti membuatkan persembahan lebih menyerlah dan memberikan kepuasan bukan sahaja kepada peserta, tetapi juga rakyat yang menyaksikan,” katanya.
Menjelang sambutan 31 Ogos ini, Mohd Amran menyeru rakyat Malaysia untuk hadir beramai-ramai memeriahkan perayaan Hari Kebangsaan, yang bukan sahaja menampilkan keindahan seni budaya dan perbarisan yang mantap, tetapi juga semangat perpaduan yang menjadi tunjang kekuatan negara.
“Insya-Allah dengan doa kita semua, saya harap cuaca baik dan acara berjalan lancar. Kalau hujan sekalipun, kita ada pelan kontingensi namun semangat ini tidak akan pernah terhenti,” katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan 2025 akan bermula seawal 7 pagi Ahad ini dengan ketibaan pemimpin negara, diikuti keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Sambutan akan dimulakan dengan acara menaikkan Jalur Gemilang oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, lafaz ikrar Rukun Negara dan perarakan pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan sejauh 2.1 kilometer.
Sebanyak 14,010 peserta, 78 aset kenderaan, tujuh kereta berhias, 116 haiwan dan 21 kumpulan pancaragam bakal memeriahkan perarakan pada sambutan kali ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial