POLITIK

Warisan Tanding Semua 73 Kerusi DUN, Bergerak Solo Pada PRN17

27/08/2025 09:11 PM

KOTA KINABALU, 27 Ogos (Bernama) -- Parti Warisan (Warisan) sebulat suara memutuskan untuk bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), tanpa bekerjasama dengan mana-mana parti politik lain.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata keputusan itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Majlis Tertinggi Warisan yang dipengerusikannya hari ini.

"Parti telah memutuskan secara sebulat suara untuk bertanding 73 kerusi DUN. Maknanya tiada gabungan atau kerjasama dengan parti lain. Jangan percaya jika ada gambaran sebaliknya.

“Ini keputusan parti, bukan keputusan presiden seorang,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan.

Mengikut peruntukan, DUN Sabah ke-16 akan terbubar secara automatik pada 11 Nov ini sekiranya ia tidak dibubarkan lebih awal, sekali gus membuka laluan kepada PRN17.

Mohd Shafie menegaskan Warisan hanya akan bekerjasama dengan rakyat Sabah, dengan memberi tumpuan memenuhi keperluan asas seperti bekalan air, elektrik dan prasarana jalan raya di seluruh negeri.

Mengulas lanjut mengenai keputusan parti itu untuk bergerak solo, beliau berkata pengalaman kerjasama sebelum ini bersama pelbagai parti politik gagal membuahkan hasil positif kerana lebih tertumpu kepada perebutan kerusi serta jawatan.

“Kebimbangan mereka (parti lain) hanya berapa kerusi yang dapat, kemudian minta jawatan menteri. Kalau tidak dapat, mereka melompat lagi. Itu pengalaman yang boleh memecah-belahkan perpaduan rakyat Sabah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan